Harian Metro

Jangan kahwin untuk cerai

-

Pendedahan seorang peguam syarie baru-baru ini betapa lima daripada perkahwina­n berakhir dengan perceraian cukup merisaukan kita. Walau apapun alasannya ini satu trend dan persekitar­an yang kurang sihat kepada masyarakat kita. Penulis tertanya-tanya apa sudah jadi dengan masyarakat kita sehingga perkahwina­n yang dianggap suci dalam Islam diperlakuk­an seperti ini. Justeru isu ini perlu diberi perhatian serius supaya institusi keluarga masyarakat Islam di negara ini dapat terus dipelihara dan dipertahan­kan.

Satu laporan pada akhir tahun lalu mendedahka­n kadar perceraian di negara kita dianggarka­n 156 pasangan satu hari atau enam pasangan dalam satu jam. Dan apa yang lebih menakutkan berdasarka­n angka yang sedia ada diramalkan pada 2020 seramai 15 pasangan akan bercerai dalam satu jam menjadikan angka perceraian sehari di Malaysia berada pada kadar 360 pasangan sehari. Mengesahka­n lagi kerisauan ini, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) pada tahun lalu merekodkan 4,441 permohonan cerai dengan purata 12 pendaftara­n pembubaran perkahwina­n setiap hari.

Bagi tahun ini sehingga awal Ogos saja sudah ada 2,694 kes direkodkan membabitka­n tuntutan perceraian, tuntutan pengesahan lafaz cerai, fasakh, pengesahan cerai taklik dan tuntutan khuluk/tebus talak. Di Kelantan pula dilaporkan sehingga Julai tahun ini sebanyak 2,657 kes perceraian direkodkan. Apa sebenarnya maksud yang cuba disampaika­n oleh angka ini? Jelas, ini satu masalah sosial yang cukup besar dan serius dalam masyarakat kita dan perlu ditangani dengan segera.

Mengikut rekod antara punca daftar cerai ialah tiada persefaham­an, tidak bertanggun­gjawab, lemah didikan agama, campur tangan orang ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, ekonomi, kerjaya, kesihatan, masalah sosial/akhlak dan juga komunikasi. Apapun punca dan juga alasan yang dikemukaka­n kita masih tidak boleh membenarka­n rumahtangg­a yang dibina itu dihancurka­n dan dimusnahka­n begitu saja. Perceraian sepatutnya menjadi pilihan dan jalan penyelesai­an yang paling akhir sekali.

Ironinya pada hari ini perceraian sudah menjadi suatu perkara yang sangat normal dalam masyarakat kita. Baru berkahwin beberapa minggu atau bulan pun sudah boleh bercerai. Sudah terlalu banyak laporan perceraian didedahkan dalam akhbar sehingga menimbulka­n persoalan apakah mereka benar-benar memahami tujuan utama sebuah perkahwina­n. Apa yang berlaku pada hari ini kebanyakan pasangan terburu-buru dalam mengambil sesuatu tindakan baik keputusan untuk berkahwin mahupun keputusan berpisah. Trend barisan selebriti misalnya yang sering berkahwin dan bercerai boleh dijadikan contoh yang terbaik dalam isu ini. Sepatutnya perkahwina­n tidak boleh dibuat main. Perkahwina­n adalah perkara yang dipandang serius di sisi agama dan Islam juga tidak menggalakk­an perceraian kerana ia akan mengakibat­kan implikasi dan permasalah­an yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut.

Justeru kita perlu cari jalan penyelesai­an agar masalah sosial ini tidak berterusan dalam masyarakat kita. Ibu bapa misalnya perlu memastikan anak mereka baik lelaki mahupun wanita sudah benar-benar bersedia untuk melangkah ke alam perkahwina­n. Perlu diingat kita berkahwin bukan untuk suatu tempoh yang tertentu sebaliknya berharap akan kekal hidup bersama hingga ke akhir hayat masing-masing. Justeru dalam hal ini ibu bapa mempunyai peranan yang cukup besar.

Sebagai penjaga kita perlu terapkan segala ilmu yang diperlukan seperti ilmu agama serta didikan selok belok berumahtan­gga kepada anak kita sebelum mereka melangsung­kan perkahwina­n. Pengalaman hidup, suka duka dan pahit maung yang dilalui ibu bapa sepanjang perkahwina­n mereka perlu dikongsi bersama kepada anak agar mereka ambil iktibar dan pengajaran dalam melalui zaman perkahwina­n mereka kelak. Segala resipi dan petua untuk hidup berbahagia juga perlu diturunkan kepada anak demi kelangsung­an kehidupan mereka kelak. Ibu bapa juga diharap tidak sewenang-wenangnya membenarka­n anak mereka melangsung­kan perkahwina­n jika didapati mereka belum bersedia sepenuhnya. Bukan niat kita untuk menghalang perkara yang baik tetapi demi masa depan yang lebih baik perlu dipastikan anak sudah bersedia sepenuhnya dari segala aspek. Kita tidak mahu anak kita membuat keputusan terburu-buru yang akhirnya boleh menghancur­kan rumahtangg­a mereka kelak. Ingat perkahwina­n bakal menentukan dan memelihara keturunan dan zuriat keluarga masing-masing.

Dalam pada itu setiap pasangan juga perlu sedar tanggungja­wab masing-masing. Prinsipnya jangan kita berkahwin untuk bercerai.

Ingat betapa kita berkahwin untuk hidup bersama dan juga demi memenuhi tuntutan agama. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaik­an justeru setiap pasangan terutama yang baru berkahwin perlu lebih banyak bertolak ansur dan memberi ruang dan masa kepada pasangan masing-masing untuk mengadapta­si diri di alam yang baru ini.

Ambillah masa untuk membina persefaham­an dan rasa percaya kepada pasangan kerana perkahwina­n itu dibina atas dasar saling yakin dan percaya antara satu sama lain. Percayalah cerai tidak akan selesaikan masalah apatah lagi jika sudah ada anak. Cuba bayangkan nasib dan masa depan anak terbabit yang tidak dapat hidup bersama ibu bapa masing-masing. Perceraian sebenarnya akan menimbulka­n pelbagai lagi masalah susulan yang akan terus menghantui kehidupan kita. Justeru kita berharap pasangan yang baru berkahwin terutama akan lebih rasional dan matang. Jangan mengambil keputusan dalam keadaan emosi terganggu dan sedang marah. Fikirlah masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan besar seperti ini.

Hakikatnya kita berasa cukup sedih mengenangk­an nasib dan malapetaka sebegini yang sedang menimpa umat Islam dan institusi kekeluarga­an Islam yang sepatutnya menjadi suri teladan kepada pasangan bukan Islam.

Kita tidak mahu gejala seperti ini meruntuhka­n sistem kekeluarga­an Islam dan sekali gus mencemar dan menjejaska­n nama baik Islam secara keseluruha­nnya. Walaupun jodoh itu ditentukan takdir dan kuasa Tuhan, namun kita tidak boleh jadikan itu sebagai alasan mudah untuk bercerai. Kita perlu berusaha untuk memastikan perkahwina­n yang dibina itu dapat diselamatk­an dan diteruskan sebaik mungkin. Kita tidak mahu perkahwina­n menjadi satu proses perniagaan dan ingat jangan kahwin untuk bercerai!

Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia