‘Terlampau’ di pintu sempadan
Imigresen terima aduan dakwaan pegawai koyak pasport rakyat Singapura
Jabatan Imigresen Malaysia Johor mengesahkan menerima aduan mengenai dakwaan seorang rakyat Singapura dihalang memasuki negara ini selepas pasportnya didapati rosak dipercayai sengaja dikoyakkan pegawai Imigresen.
Mangsa turut mendakwa, pegawai imigresen itu memintanya wang sekiranya mahu memasuki Malaysia.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Rohaizi Bahari berkata, aduan diterima pada jam 12.30 tengah malam kelmarin dan kertas siasatan terus dibuka.
“Kita sudah menerima aduan mengenai salah laku seorang pegawai Imigresen yang dikatakan merosakkan pasport pelawat milik seorang warga asing.
“Aduan diterima pada jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin) dan siasatan sudah dibuka terhadap pegawai berkenaan pada hari sama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap perlakuan salah laku yang membabitkan pegawai Imigresen dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai itu jika terbukti kesalahannya.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.
Kelmarin, pengguna Facebook (FB) bernama Muhammad Fauzi memuat naik status di laman sosial miliknya mendedahkan kejadian menimpanya.
Dia mendakwa ditahan oleh seorang pegawai imigresen di kaunter masuk Linkedua, Bangunan Sultan Abu Bakar, Tuas yang mempersoalkan mengenai pasportnya yang koyak, pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
Dia mendakwa pegawai berkenaan menghalangnya memasuki Malaysia kerana keadaan pasport yang koyak walaupun diberitahu dia perlu segera pulang ke rumah menemui isterinya.
“Pegawai itu kemudian menyuruh saya kembali ke Singapura kerana pasport koyak, melainkan sekiranya saya rakyat Malaysia, dia akan melepaskan masuk,” dakwanya yang terkejut kerana pasportnya tiada masalah, malah tiada sebarang kesan koyak ketika melepasi kaunter keluar negara di Singapura.
Lelaki itu juga mendakwa, pegawai berkenaan tidak mahu memanggil ketuanya apabila diminta, sebaliknya memintanya memarkir motosikalnya di tepi dan bertemunya di satu sudut di lokasi itu.
“Perbualan bermula dan dia memberitahu akan membantu sekiranya saya membantunya dengan memberinya wang,” dakwanya.
Dia kemudian mengambil pasportnya dan kembali ke Singapura sebelum dinasihatkan membuat laporan polis dan turut dimaklumkan kes seumpama itu bukan yang pertama berlaku.