Harian Metro

Tak rela lihat TFC ‘nangis’ tiga kali

-

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH) tidak rela melihat Terengganu FC (TFC) ‘menangis’ tiga kali berturut-turut di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila bertemu FELDA United pada suku akhir kedua Piala Malaysia, esok.

Sebaliknya peminat setia skuad Penyu mahu anak buah Irfan Bakti Abu Salim lebih garang untuk mencipta kemenangan sekali gus menamatkan kekalahan dalam dua aksi terdahulu bagi memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Presiden PETEH, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kekalahan kepada Perak 1-2 (2 September) diikuti Kuala Lumpur 2-3 (15 September) begitu perit buat peminat dan sukar diterima kerana berlaku di gelanggang sendiri.

“Justeru bagi perlawanan Jumaat ini, pemain tiada pilihan melainkan perlu memperagak­an aksi terbaik dan bertenaga bagi menghadiah­kan kejayaan bermakna kepada peminat biarpun sedar TFC hanya perlu seri untuk mengesahka­n tempat,” kata Dr Najmil.

Pada suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat lalu, skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu menang 2-1 hasil jaringan Nasrullah Hanif Johan dan Lee Tuck.

Terengganu yang menjuarai Kumpulan A berpeluang cerah untuk mara berdasarka­n jaringan di tempat lawan namun Irfan awal-awal lagi enggan berasa selesa sebaliknya menyifatka­n aksi sukar biarpun bermain di laman sendiri.

Dr Najmil mengingatk­an peminat setia kedua-dua pasukan tidak melakukan provokasi sama ada ketika dan selepas perlawanan bagi mengelak insiden ‘panas’ berlaku.

“Harapan penyokong pasti tinggi tapi usah timbulkan provokasi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia