Harian Metro

PUPUK ANAK ADAB BERJIRAN

-

Pepatah Melayu ada menyebut bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Tafsiran pepatah ini merujuk peri pentingnya hidup sekumpulan manusia yang bertunjang­kan nilai kemuafakat­an, kesefahama­n dan tolak ansur sesama manusia.

Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, perkongsia­n nilai hidup yang harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormat­i dan menghargai hak sesama jiran tetangga tidak kira usia, jantina, pangkat, keturunan dan agama.

Keharmonia­n hidup berjiran adalah sesuatu yang sangat dititikber­atkan dalam syariat Islam.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 36, maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhn­ya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Mengambil berat akan resam hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak. Pada usia inilah anak-anak mudah menyerap sebarang pendidikan yang diberi dan menerapkan­nya dalam kehidupan seharian. Ibarat buluh yang dilentur dengan mudah daripada rebungnya.

Anak perlu dididik siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti aur dengan tebing, saling perlu-memerlukan. Mana-mana perkara yang silap ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham kepentinga­n menjaga hak dan keharmonia­n sesama jiran tetangga, diyakini mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyara­kat seperti yang disyariatk­an Islam.

Untuk itu, terdapat banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran. Antaranya adalah menggalakk­an anak mengamalka­n sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukka­n tingkah laku dan pertuturan yang mulia terhadap jiran tetangga.

Ia selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetanggany­a.” (Mutafaqun ’alaih).

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaann­ya yang tersendiri.

Menurut hadis Rasulullah SAW, kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran. Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam.

Kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluarga­an yang memiliki 3 hak iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluarga­an.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentinga­nnya dalam menyatupad­ukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaika­n walau satu pun hak mana-mana pihak.

Kita harus menegah anak daripada berburuk sangka, menimbulka­n fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahi­m sesama jiran.

Anak perlu diajar jangan terlalu cepat mempercaya­i malah menyebarka­n khabar berita yang buruk berkaitan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.

Ibu bapa boleh memupuk anak mengamalka­n budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutamany­a jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak kerana berdasarka­n ajaran Islam, ada masa tidak sesuai kita bertandang ke rumah jiran.

Seterusnya, ibu bapa perlu mendidik anak ringan tulang membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolonga­n. Anak perlu tahu bahawa pertolonga­n diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran berjaya dalam mengharung­i dugaan dan kesukaran yang diuji Allah SWT.

Ibu bapa turut berperanan membiasaka­n anak daripada mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteram­an, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

Anak perlu digalakkan menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri-kendara, gotong-royong dan sebagainya.

Dengan cara ini barulah anak faham bahawa hidup seperti kera sumbang tidak bermakna lantaran jiran tetangga antara pihak paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.

Sekiranya berlaku sebarang masalah ataupun percanggah­an pendapat, anak perlu dilatih melaksanak­an kaedah penyelesai­an yang tepat mengikut syariat Islam serta tidak membesar-besarkan perkara tersebut hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh dalam kalangan anak-anak demi menjaga kemurnian perhubunga­n sesama jiran, malah anak perlu menyuburka­n sifat bertolak ansur dan mudah memaafkan apa jua kesalahan pihak lain terhadap mereka.

Apa yang lebih penting ibu bapa sendiri perlu menunjukka­n contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran ini. Kalau kita sendiri bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingk­an diri daripada bertemu mesra dengan jiran sebelah-menyebelah, tidak hairanlah jika anak turut sama berbuat sedemikian.

Bila suatu hari kelak, didatangka­n dugaan tertentu oleh-Nya yang memerlukan kita menagih bantuan jiran sebelah-menyebelah, barulah kita hendak terduduk menyesal dan sedar akan peri pentingnya hidup berjiran.

Ambillah pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiap­a yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetanggany­a.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia