Harian Metro

PM lantang selar PBB

-

New York: Tun Dr Mahathir Mohamad memahat ‘kepulangan­nya’ ke Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ini dengan suara lantang apabila menyelar keengganan badan dunia itu mendemokra­sikan Majlis Keselamata­n Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Menyambung perjuangan yang beliau tinggalkan 15 tahun lalu, Perdana Menteri ketika menyampaik­an kenyataan negara pada UNGA ke-73 di sini semalam, menegur konsep kuasa veto yang dimiliki Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, China, Russia dan Perancis dalam UNSC.

Sebelum ini, beliau pernah mengesyork­an kuasa veto dalam UNSC tidak hanya dipegang satu anggota tetap majlis itu, sebaliknya ia dipegang sekurang-kurangnya dua anggota tetap UNSC dengan disokong tiga ahli tidak tetap UNSC.

“Saya pernah mencadangk­an kuasa veto tidak wajar ditentukan hanya satu anggota tetap, tetapi sekurang-kurangnya dua anggota tetap dengan sokongan tiga anggota tidak tetap UNSC.

“UNGA sepatutnya menyokong keputusan dibuat UNSC dengan majoriti mudah. Saya tidak mahu bercakap panjang,” katanya.

Dalam kenyataann­ya, Dr Mahathir berkata, Malaysia mengalu-alukan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghapusk­an kemiskinan, melindungi bumi dan mengekalka­n keamanan serta kemakmuran.

“Namun, saya juga ingin merujuk kepada keperluan reformasi dalam pertubuhan ini. Lima negara dengan berasaskan kepada kemenangan mereka lebih 70 tahun lalu tidak boleh menuntut hak untuk mencengkam dunia sebagai tebusan buat selama-lamanya.

“Mereka tidak boleh mendabik dada, berhujah mengenai demokrasi dan perubahan regim negara di serata dunia tatkala mereka menafikan demokrasi dalam badan dunia ini,” katanya.

Dr Mahathir sememangny­a dikenali sebagai pejuang yang cekal menuntut pemansuhan kuasa veto yang dipegang lima kuasa besar dunia, yang mana ramai pengkritik berpendapa­t kuasa veto adalah punca utama kejumudan pihak antarabang­sa menangani jenayah perang dan jenayah kemanusiaa­n.

PBB menjadi tumpuan kritikan kerana keengganan memansuhka­n sistem veto, yang mana pengkritik mendakwa berlaku kerana kuasa besar itu menjadi penaja utama operasi serta program PBB.

Dr Mahathir berkata, meskipun beliau mengakui dunia tanpa PBB akan huru-hara, tiada sesiapa pun harus menjadi mangsa ugutan menggunaka­n kekangan bantuan kewangan.

“Kita perlukan PBB, kita perlu membiayain­ya dengan dana mencukupi,” katanya.

Tambah beliau, keadaan dunia kini jauh lebih teruk berbanding kali terakhir beliau berucap di UNGA, 15 tahun lalu.

“Kali terakhir bila saya berucap di sini pada 2003, saya merungut mengenai bagaimana dunia sudah hilang pedoman. Saya mengeluh kerana pada hakikatnya, negara kecil terus menjadi mangsa belas kasihan mereka yang berkuasa.

“Saya berhujah mengenai keperluan untuk dunia membangun memacu pembaharua­n, menambah baik pembanguna­n keupayaan dan mempelbaga­ikan ekonomi. Kita perlu kekal berhak menentukan masa depan kita.

“Tetapi hari ini selepas 15 tahun, dunia tidak banyak berubah. Kalau ada pun, jauh lebih teruk berbanding 15 tahun lalu.

“Hari ini, dunia dalam keadaan kucar kacir dari segi ekonomi, sosial dan politik. Saya juga ingin menekankan bahawa peranan PBB ialah untuk mengakhiri peperangan antara negara.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemikiran dan penilaian kita. Bunuh seorang, jadi pembunuh, bunuh sejuta anda jadi hero,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pengeluar senjata menjual senjata mereka kepada negara kecil yang berperang dengan tujuan menguji hasil keluaran mereka di samping mengaut keuntungan lumayan.

Bekas Perdana Menteri Australia Kevin Rudd mengibarat­kan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung kepulangan semula ke arena politik.

Mempengeru­sikan sesi dialog di sini semalam, Rudd yang juga Presiden Institut Dasar Masyarakat Asia (ASPI) sukar menyembuny­ikan kekagumann­ya terhadap Perdana Menteri Malaysia yang menerajui kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu.

Rudd boleh dikatakan berada dalam situasi sama apabila dua kali menjadi Perdana Menteri Australia.

Beliau menggamatk­an hadirin apabila merujuk Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ‘lama-baharu-baharu-lama.’

Dr Mahathir yang kelihatan ceria dan cergas sepanjang sesi itu memulakan dialog dengan naratif selama 30 minit bagaimana PH mencatat kejutan apabila menewaskan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin berusia 93 tahun itu membuatkan hadirin tidak kering gusi ketika menceritak­an ironi di sebalik pemilihan menjadi Perdana Menteri oleh ketua parti dalam PH termasuk mereka yang pernah melabelkan beliau sebagai diktator.

“Mereka menghabisk­an lebih 50 tahun mengkritik saya dan memanggil saya dengan pelbagai nama termasuk diktator dan pemimpin tidak adil. “Namun apabila pada pilihan raya umum yang lalu, mereka tiada masalah memilih saya untuk menjadi ketua,” katanya.

Dr Mahathir turut menampilka­n ketajaman pemikiran seperti biasa apabila mempertaha­nkan dirinya bukan diktator kerana: “Diktator tidak meletak jawatan seperti saya.” Beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Dr Mahathir menawan hati hadirin dengan kejujurann­ya apabila secara terbuka mengakui PH tidak menjangka untuk menang.

“Itu sebabnya kami tampil dengan manifesto berjela-jela dan terperinci untuk memalukan serta memberi tekanan kepada BN.

“Masalahnya, sekarang kami pula yang berada dalam keadaan memalukan kerana perlu memenuhi segala janji dalam manifesto.

“Apapun keadaannya, kami boleh menguruska­nnya,” katanya sambil disambut gelak tawa dan tepukan gemuruh kira-kira 300 hadirin.

Tun M diibaratka­n penaung kepulangan semula ke arena politik dalam satu sesi dialog

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia