Harian Metro

‘Letak diri di tempat mangsa’

- Michelle Gun michellegu­n@hmetro.com.my

Sejak kebelakang­an ini, banyak berita palsu mengenai kematian artis tersebar di media sosial.

Malangnya, ada netizen mudah mempercaya­i berita itu dan berkongsi maklumat terbabit tanpa selidik.

Bintang Hollywood seperti Jackie Chan dan pelawak popular Rowan Atkinson sudah beberapa kali didakwa meninggal dunia oleh pihak tidak bertanggun­gjawab.

Artis di Malaysia juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa individu sedemikian antaranya Remy Ishak, Azza Elite, Datuk Jalaluddin Hassan, Rahim Sepahtu dan Aiman Tino.

Terbaru, tersebar berita palsu mengatakan penyanyi, Saleem yang kini masih dirawat di hospital akibat kemalangan motosikal sudah meninggal dunia.

Berikut komen artis tanah air mengenai penyebaran berita palsu di media sosial.

LIZA KHAIRUDIN (PENGACARA)

“Berita palsu cepat tersebar luas disebabkan ada segelintir individu mahu berlumba-lumba jadi orang pertama berkongsi maklumat diterima.

Masyarakat perlu menyedari bukan semua berita diterima adalah sahih dan mereka perlu menunggu kesahihan daripada pihak berkaitan dulu.

Masyarakat perlu ada pendirian dan tidak mudah terikut-ikut untuk kongsi semula berita yang diperoleh daripada orang lain.

Mereka juga perlu tahu, banyak hati yang perlu dijaga sebelum sebarkan berita seperti kematian.

Apabila dapat tahu berita itu palsu, barulah mahu minta maaf kepada mangsa dan keluargany­a.

Ketika itu sudah terlambat kerana ia meninggalk­an impak besar terhadap keluarga dan masyarakat.

Sikap seperti ini dalam kalangan masyarakat perlu dibendung kerana sudah banyak kali berlaku.

Cuba letak diri di tempat mangsa dan keluargany­a serta fikir bagaimana rasanya sekiranya berita tidak sahih mengenai diri tersebar luas di media sosial.

Saya meminta pembaca dan peminat terus mendoakan bapa mentua, Saleem supaya

cepat kembali sihat.”

FARA HEZEL (PENYANYI)

“Berita palsu mendakwa adik saya, Aiman Tino meninggal dunia membuat kami sekeluarga sedih.

Semasa mendapat tahu mengenai berita itu, Aiman ada bersama keluarga.

Namun mencari individu bertanggun­gjawab bukan mudah.

Baru-baru ini, Aiman dimasukkan ke hospital kerana sakit di bahagian perut.

Bagaimanap­un, timbul cerita kurang enak pula apabila ada netizen mendakwa dia sengaja mereka cerita sakit sebagai gimik mahu keluar lagu baru.

Selepas itu, barulah mereka sedar Aiman betul-betul sakit dan masih berada di hospital.

Sebenarnya maklumat palsu ini lebih memberi kesan kepada adikberadi­k lain yang masih kecil kerana mereka sukar jawab pertanyaan netizen mengenai berita palsu.”

WANY HASRITA (PENYANYI)

“Sebelum ini, ada berita mendakwa saya bercinta dengan artis lain. Memang cerita seperti itu sedikit menganggu hidup saya, namun belum sampai ke tahap serius.

Cuma, saya hairan segelintir netizen ini mudah percaya bulat-bulat khabar angin saya bercinta dengan dua artis.

Kalau tidak pasti kesahihan berita, janganlah kongsi. Baru-baru ini, saya ada terima mesej WhatsApp memaklumka­n pemergian komposer Pak Ngah.

Biarpun sumber itu sahih kerana daripada anak Allahyarha­m, saya tetap bertanya pihak lain terlebih dulu sebelum berkongsi maklumat itu di media sosial.

Ini kerana saya khuatir memberi maklumat salah kepada orang ramai dan mahu mengambil langkah berjaga-jaga.

Saya juga sering mengingati peminat supaya tidak bergaduh atau menjawab dengan netizen lain di media sosial. Bimbang pula nanti timbul isu lain yang tidak benar.”

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia