Harian Metro

NAMA JANGAN LEBIH 80 AKSARA: JPN

- Dziyaul Afnan Abdul Rahman news@nstp.com.my

JPN larang daftar nama anak panjang

Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) melarang ibu bapa mendaftar nama anak mereka dengan nama yang panjang hingga melebihi 80 aksara ketika melakukan proses pendaftara­n.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Jasri Kasim berkata, 80 aksara itu merangkumi nama bapa, bin atau binti serta simbol seperti koma.

“Ini kerana ruangan nama yang disediakan di borang pendaftara­n adalah terhad kepada 80 abjad malah jarak antara perkataan juga dikira sebagai satu abjad.

“Jadi kami minta ibu bapa mematuhiny­a dan untuk rekod nama individu yang paling panjang setakat ini adalah 78 aksara,” katanya.

Jasri berkata demikian ketika ditemui pada program Kembara Mobile JPN 2018 Peringkat Negeri Perlis di Kampung Behor Masjid dan Kampung Bumbung Lima, Arau, semalam.

Pada program itu, Jasri menyampaik­an Sijil Kewarganeg­araan kepada Muniroh Tehpooyoo, 35, dari Thailand selepas wanita itu memenuhi syarat penuh untuk memperoleh status kewarganeg­araan.

Jasri berkata, selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, nama yang panjang juga secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada anak itu kelak.

“Ini menyusahka­n anak mereka kelak khususnya ketika berurusan rasmi dengan agensi kerajaan kerana tidak semua jabatan menyediaka­n ruangan nama yang mencukupi seperti di JPN.

“Selain itu kasihan kepada anak yang nama panjang kerana setiap kali musim peperiksaa­n orang lain sudah menjawab beberapa soalan, mereka masih sibuk mengisi nama di ruangan di muka hadapan kertas,” katanya.

Selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, turut ditegah memberikan nama anak dengan kumpulan nama gelaran dikurniaka­n kerajaan seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam dan Datuk Bentara Luar.

Ini diikuti nama pangkat atau jawatan contoh haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia