Harian Metro

31 individu Islam ditahan teguk arak

-

Kuala Lumpur: Padah mengambil minuman keras menyebabka­n 31 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI) dalam pemeriksaa­n Op Bah Siri 47 dijalankan di dua pusat hiburan di ibu kota, awal pagi semalam.

Operasi bermula jam 1 pagi di pusat hiburan di Jalan Sungai Besi dan lokasi kedua di Jalan Sultan Ismail, sebelum tamat kira-kira jam 7 pagi.

Pengarah Jabatan Penguatkua­saan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, JAWI memeriksa 56 individu sebelum 11 wanita dan 20 lelaki ditahan mengikut Seksyen 19 Akta 559 Jenayah Syariah.

“Manakala, 25 individu diberi notis perintah hadir di bawah Seksyen 43 Akta 559 Jenayah Syariah,” katanya yang mengetuai operasi itu ketika ditemui, semalam.

Katanya, seramai enam warga asing ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Kami menyerbu dua premis pusat hiburan pagi ini (semalam) dengan kekuatan 379 kakitangan pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Hasil serbuan di kedua-dua lokasi, JIM berjaya menahan enam warga asing didapati melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, pihak SSM pula mengesan premis kedua melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016 kerana gagal mempamerka­n nama dan nombor syarikat seperti didaftarka­n di premis perniagaan.

“Di lokasi pertama pihak AADK menyaring 34 individu dan 16 daripadany­a positif dadah jenis ekstasi dan Methamphet­amine manakala di lokasi kedua seramai 30 individu disaring secara rawak namun tiada tangkapan dibuat.

“Bagi pihak DBKL, kami menyita kedua-dua premis dengan menyerahka­n notis penutupan kerana tidak mempunyai lesen,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia