Harian Metro

‘Menteri perlu berani pecat dia’

-

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran segera memecat Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim selepas bekas penolong jurulatih akademi Bayern Muncih itu gagal memacu skuad bawah 16 (B-16) tahun negara layak ke Piala Dunia B-17 di Peru Oktober tahun depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) yang juga majikan Teong Kim seharusnya mengambil keputusan drastik seperti dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memecatnya sejurus tewas 0-2 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan A Khamis lalu.

Kata Sadek, KBS mempunyai banyak sebab untuk menamatkan khidmat Teong Kim termasuk soal gaji RM175,000 sebulan yang cukup lumayan diterima bekas pemain kebangsaan itu sejak bersama NFDP pada 2014.

“Apa (KBS) tunggu lagi, kalau ada maruah beliau akan pergi (letak jawatan), tapi dalam konteks ini beliau tak ada maruah dan menteri mesti berani pecat dia,” kata Sadek yang berpandang­an Teong Kim gagal menguruska­n aspek emosi dalam kalangan pemainnya.

“Dalam Sains Sukan, elemen seperti emosi, kerohanian dan intelektua­l sangat berhubung kait dengan sukan, dan beliau yang sudah bertahun di Jerman sepatutnya menerapkan elemen ini kepada anak buahnya.

“Kalau dilihat daripada segi permainan, kemahiran dan taktikal pemain B-16 amat baik sekali. Cuma mereka tidak berjaya mengawal emosi ketika bermain dan sebab itu kita dapat lihat pada perlawanan pertama penjaga gol menerima kad merah, begitu juga penjaring terbanyak pasukan turut menerima nasib sama pada aksi kedua.

“Jika aspek emosi ini diajar dengan betul, saya percaya mereka tidak akan melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika perlawanan.

“Ini kelemahan yang masih wujud dan saya fikir beliau jelas gagal menerapkan falsafah bola sepak moden yang turut menekankan aspek ‘mengurangk­an kesilapan’ dalam permainan,” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia