Harian Metro

Malaysia sedia hulur bantuan

-

Kuala Lumpur: Malaysia sedia menghulurk­an bantuan ke Sulawesi, Indonesia susulan tsunami yang melanda negara jiran itu, kelmarin.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, kedutaan di Indonesia memantau perkembang­an di negara itu sebelum Wisma Putra memutuskan bentuk bantuan yang bakal disalurkan.

Beliau menjangka Wisma Putra akan memperoleh maklumat dalam tempoh beberapa hari.

“Setakat ini kita masih memantau soal kedudukan di sana, tetapi dimaklumka­n tiada rakyat Malaysia yang terbabit. Jadi, kita sekarang dalam proses memantau keadaan terkini dan saya difahamkan ia bertambah buruk.

“Kita doakan hal ini dapat diselesaik­an sebaik mungkin dan kemudian baru kita atur daripada segi bantuan.

“Mungkin (terima maklumat) dalam sehari dua. Setakat ini pun belum ada laporan terkini daripada kedutaan mengenai status di Sulawesi. Bagaimanap­un, kaunselor kita di sana masih pantau,” katanya pada majlis memasak bubur asyura anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bandar Tun Razak di Bandar Tasik Selatan, semalam.

Jumlah korban akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, meningkat kepada sekurang-kurangnya 384 orang dengan kebanyakan­nya maut dihanyut ombak besar di pantai.

Setakat kelmarin, agensi bencana Indonesia memberi amaran jumlah korban akan meningkat manakala 540 lagi parah.

Menurut pihak berkuasa, gempa susulan masih menggegark­an Sulawesi sehingga 100 gegaran sejak semalam, apabila pantai dibadai ombak setinggi enam meter.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia