Kenduri rakyat buat mangsa gempa Lombok
Kuala Lumpur: Walaupun kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia sudah berlarutan hampir dua bulan namun puluhan ribu penduduk di kawasan berkenaan masih trauma untuk tinggal di dalam kediaman hingga sanggup mendirikan khemah di depan rumah masing-masing.
Malah ada antara mereka masih mengharapkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kehidupan sejak gempa bumi melanda 29 Julai lalu dengan kekuatan 6.9 magnitud yang meranapkan banyak kediaman serta harta benda lain.
EZ Qurban Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkesempatan menghulurkan bantuan pasca gempa kepada mereka selain melihat situasi di kawasan berkenaan begitu menyedihkan apabila masing-masing terpaksa menjadikan khemah atau pondok seba- gai tempat berlindung selain sumber makanan terhad.
Pengurus EZ Qurban Sdn Bhd, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, bekalan air bersih dan makanan sukar diperoleh menyebabkan pihaknya mengambil keputusan mengadakan kenduri rakyat dengan mengagihkan 250 kambing kepada penduduk tempatan.
“Kami terpaksa mengambil bekalan kambing dari Jogjakarta, Indonesia dengan perjalanan mengambil masa kira-kira sembilan jam kerana bekalan bahan mentah di Lombok terhad.
“Sebanyak 250 kambing disembelih di Jogjakarta manakala 15 ekor lagi disediakan di Lombok dengan bantuan penduduk tempatan.
“Pada masa sama, kami juga menyediakan enjin pam air selain mengagihkan selimut dan 200 kampit beras 5 kilogram kepada mangsa gempa bumi di Lombok,” katanya.
Menurutnya, 74,000 kediaman musnah akibat gempa bumi berkenaan dan kebanyakan penduduk masih bergelut untuk meneruskan kehidupan walaupun keadaan sudah beransur pulih.