Harian Metro

‘Sekiranya saya masih muda...’

-

London: Kemunculan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik sehingga sekali lagi diangkat sebagai Perdana Menteri pada usia tua mungkin memberi kesan terhadap pentadbira­n kerajaan.

Dr Mahathir berkata, keadaan sekarang lebih sukar dan mencabar mengambil kira usianya yang mencecah 93 tahun amat berbeza sekali berbanding ketika beliau mengetuai kerajaan pada 1981.

“Kali ini lebih sukar. Sekiranya saya masih muda seperti (tahun) 1981...saya boleh mengatasi masalah ini. Tetapi sekarang tidak boleh ditanggung.

“Banyak keputusan yang perlu dibuat antara perlu menukar ketua jabatan, melantik seseorang untuk mengambil alih semua tugas yang mana perlu diputuskan dan menjadi tugas saya sebagai Perdana Menteri. Jadi, pengalaman itu tidak sama.

“Apabila saya menjadi Perdana

Menteri pada 1981, semuanya tiada masalah. Perkhidmat­an awam terlatih dan mereka pun melakukan sebahagian daripada kerja mereka dengan baik,” katanya pada sesi forum bersama 150 tetamu termasuk wartawan dan ahli akademik bertempat di Chatham House di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, meskipun terdapat anasir rasuah, tetapi ia tidak teruk sehingga menjatuhka­n negara.

“Walaupun terdapat rasuah, tetapi tidak merosakkan negara. Tahap rasuah sangat rendah sehingga tidak menjadi fokus utama bagi kita (ketika itu).

“Tetapi kali ini, ketika saya menjadi Perdana Menteri (sekali lagi), saya dapati seluruh jentera kerajaan sudah rosak. Mereka benar-benar mencuri wang (1Malaysia Developmen­t Berhad),” katanya.

Dalam forum itu, Dr Mahathir turut diajukan soalan mengenai hubungan dengan bekas timbalanny­a, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarak­an ketika beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Namun, Dr Mahathir berkata, sekarang semuanya sudah baik sambil menambah beliau mempunyai pertalian yang baik dengan Anwar apabila menyokong bakal Presiden PKR itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia