Buka akses khidmat kaunselor
Negara perlu 11,000 pakar untuk mendepani masalah sosial semakin kompleks
Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020 bagi memastikan ia mencukupi untuk mendepani masalah sosial yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sasaran itu akan mengecilkan nisbah seorang kaunselor bagi 2,945 penduduk berbanding seorang kaunselor bagi setiap 4,030 penduduk masa ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling kini dilihat satu keperluan penting terutama dalam situasi masyarakat berhadapan pelbagai tekanan hidup.
“Setakat 31 Ogos lalu, ada 8,039 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor. Nisbah ini terlalu besar untuk mendepani masalah sosial yang semakin kompleks, justeru, kami sasarkan untuk melahirkan 11,000 kaunselor menjelang 2020.
“Saya menyeru setiap kaunselor supaya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor selain meningkatkan kemahiran melalui program pembelajaran profesional agar lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling ini,” katanya sesihatan lepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Kajian Ke- dan Morbitidi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus atau 4.2 juta orang.
“Ia bermakna satu dalam tiga penduduk Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental.
“Skop kesihatan remaja menunjukkan remaja berdepan perasaan cemas sebanyak 39.7 peratus diikuti depresi (18.3 peratus) dan stres (9.6 peratus). Itu antara tiga penyakit mental utama dalam kalangan remaja di sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Kaunselor membangunkan satu Garis Panduan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan sebagai rujukan mengendalikan isu dalam keluarga seperti penderaan, keganasan rumah tangga, penceraian, pengabaian dan sebagainya.