Industri ayam daging Malaysia berkembang hingga 6% setahun
Industri ayam daging secara komersial di Malaysia berkembang antara lima dan enam peratus setiap tahun dan menyumbang kira-kira RM12 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016.
Presiden Persatuan Ayam Veterinar Dunia (MVPA) Malaysia Prof Dr Abdul Rahman Omar berkata, segmen ayam daging dan telur adalah penyumbang terbesar iaitu kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan industri.
Katanya, permintaan ayam daging di negara ini terus mendapat permintaan daripada luar negara terutama di Timur Tengah dan Eropah.
“Ayam daging Malaysia turut dieksport ke negara Singapura, Brunei, Hong Kong, Jepun dan Timur Tengah.
“Bagi perancangan akan datang, kami menjangkakan untuk menembusi pasaran Eropah kerana sudah mendapat permintaan di sana yang kebanyakannya mencari ayam daging halal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena
Mesyuarat Asia ke-4 WVPA 2018 di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden MVPA Dr Nigel Horrox, Naib Presiden MVPA dan Prof Datuk Dr Aini Ideris.
Mesyuarat kali ke-4 itu menghimpunkan lebih 370 deligasi dari 20 negara bagi membincangkan cabaran yang dihadapi dalam industri ayam daging terkini termasuk mengenai vaksin dan kawalan penyakit bawaan virus serta bakteria.
Dr Abdul Rahman berkata, sejak 1980 Malaysia menghasilkan ayam daging komersial yang mencukupi dengan pertumbuhan 130 peratus bagi menampung permintaan tempatan dan eksport.
Beliau berkata, syarikat dan penyelidik tempatan juga sentiasa berusaha menghasilkan teknologi terkini untuk memastikan ayam daging yang dihasilkan berkualiti terbaik.
MVPA Malaysia mempunyai lebih 400 ahli di seluruh negara.