Harian Metro

‘Sumpah tak mandi laut lepas ni’

-

Kuala Terengganu: Kehilangan dua rakan membuatkan Nur Ain Najiha Abdul Rani, 12, bertekad tidak mahu mandi laut atau sungai lagi selepas ini.

“Saya takkan mandi laut atau sungai lagi. Saya trauma dan kehilangan kawan baik kerana mandi di lagun itu,” katanya yang juga hampir lemas dalam kejadian di lagun Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap di Setiu, kelmarin.

Kejadian jam 12 tengah hari itu meragut nyawa dua rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat, Nur Afizatul Nabihah Mohd Jaafar dan Nur Qumaira Qistina Mohd Nizam.

Mayat Nur Afizatul Nabihah ditemui jam 1.30 tengah hari, manakala Nur Qumaira dijumpai jam 4 petang.

Seorang lagi rakan mereka, Nur Aisyah Syakira Ishak, 12, juga terselamat dalam kejadian itu.

Nur Ain Najiha berkata, mereka berempat teruja kerana kali pertama berkelah dan berpeluang mandi di lagun terbabit untuk menghilang­kan tekanan selepas selesai peperiksaa­n Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bagaimanap­un, katanya, dia tidak menyangka kegembiraa­n mereka berakhir tragedi.

“Kami datang bersama keluarga (Nurul Afizatul) Nabihah dengan menaiki dua kereta.

“Kami sampai di situ jam 11 pagi dan terus ke lagun untuk mandi. Pada masa sama Nabihah mengajak kami ke kawasan lebih dalam untuk mencari kepah.

“Ketika leka mencari kepah, air separas dada sebelum kami terkapai-kapai dan lemas,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNZ) di sini, semalam.

Menurutnya, hubungan mereka berempat sangat erat, malah sering belajar bersama-sama secara bergilir di rumah masing-masing sebelum UPSR.

“Kami berkawan sejak kecil dan saya juga sekelas dengan Nabihah sejak tahun satu,” katanya.

Ibu Nur Ain Najiha, Che Zaiton Che Hassan, 54, pula berkata, dia yang ketika itu berada di rumah terkejut apabila dimaklumka­n mengenai kejadian terbabit tetapi bersyukur anaknya terselamat.

“Penduduk beritahu beberapa orang yang berada di lokasi kejadian beritahu anak saya terdampar di dasar lagun pada kedalaman hampir 10 meter.

“Mereka kata mujur ada penduduk kampung yang cekap berenang dan menaikkan Nur Ain Najiha sebelum memberi bantuan kecemasan,” katanya yang berterima kasih kepada pihak yang menyelamat­kan anaknya.

Sementara itu, Nur Aisyah Syakira berkata, dia sempat mendengar Nur Qumairah menjerit meminta tolong tetapi pada masa sama, dia sendiri hampir lemas dan tenggelam timbul.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya sendiri hampir lemas kerana tiba-tiba tenggelam timbul dan kaki tidak berpijak pada dasar sungai.

“Saya tersedar ketika orang pikul bawa naik ke daratan,” katanya sambil memberitah­u paling rapat dengan Nur Qumairah kerana mereka berjiran dan sekelas.

 ??  ?? NUR Ain Najiha yang nyaris lemas kini dalam keadaan stabil di HNZ.
NUR Ain Najiha yang nyaris lemas kini dalam keadaan stabil di HNZ.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia