Badai taufan Trami
Rakyat Malaysia di Jepun ambil langkah berjaga-jaga
Jepun dilanda musibah lagi. Tidak sampai sebulan selepas dilanda taufan Jebi, negara matahari terbit itu sekali lagi diserang taufan Trami yang mula melanda Jepun sejak petang kelmarin.
Kebimbangan berhubung keselamatan warga Malaysia yang berada di negara itu menyebabkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jepun mengeluarkan amaran supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga.
Taufan Trami dengan kelajuan angin lebih 200 kilometer sejam dikesan mula melanda Jepun pada jam 5 petang kelmarin dan berlarutan sehingga jam 2 pagi semalam.
Rakyat Malaysia yang menetap di Fuchu, Tokyo, Mohd Fuzayme Nordin, 34, berkata keluarganya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan keperluan makanan secukupnya selepas pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengeluarkan amaran taufan itu, Sabtu lalu.
Katanya, pada jam 6 petang kelmarin, hujan lebat berlarutan sehingga jam 10 malam diikuti ribut.
“Saya menutup semua pintu dan tingkap. Namun, ribut yang terlalu kuat menyebabkan pintu gelongsong bergegar dan air hujan memasuki ke dalam bilik. Kejadian itu berlarutan sehingga jam 2 pagi semalam.
“Walaupun taufan terbaru ini tidak sekuat taufan Jebi namun saya tidak panik kerana sudah dilatih untuk sentiasa bertenang menghadapi situasi bencana. Ini kejadian taufan besar kedua saya alami sepanjang tinggal di sini sejak 2016.
“Bagaimanapun, kebanyakan peniaga di sini sudah bersedia lebih awal dengan penutup perniagaan sejak kelmarin. Malah perkhidmatan kereta api turut dibatalkan bermula jam 8 malam kelmarin.
“Di sesetengah kedai runcit dan serbaneka, kebanyakan bekalan makanan kehabisan apabila penduduk setempat membelinya untuk persediaan menghadapi ribut,” katanya.
Dia berkata, kerja pembersihan kini giat dijalankan oleh penduduk dengan memotong dan memindahkan pokok tumbang yang menghempap kediaman atau jalan. Taufan Trami mula membadai selatan Jepun sekali gus turut memaksa banyak pembatalan jadual penerbangan dan menjejaskan bekalan kuasa di beberapa bandar.
Taufan Trami yang diletakkan dalam kategori 2, mula membadai kepulauan sekitar Okinawa, iaitu kira-kira 1,000 kilometer (km) di barat daya Tokyo.