MAPIM bina telaga, penapis air
Jakarta Kuala Lumpur: Bantuan awal berupa telaga dan penapis air bersih diaktifkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk mangsa tsunami yang terjejas di Palu dan Donggala, Sulawesi.
Dijangka dibina Rabu ini, ia menjadi inisiatif paling penting untuk mangsa mendapatkan air bersih selepas bekalan terputus sejak tiga hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, seramai 20 sukarelawan terdiri daripada aktivis dan doktor akan berlepas ke Makassar pagi ini untuk memberi bantuan awal kepada mangsa di kawasan terjejas.
Katanya, MAPIM sudah diberikan taklimat awal oleh rakan gabungan di lokasi bencana dan melakukan persiapan untuk pencarian fakta di Palu dan Donggala.
“Sejak dua hari lalu, kami mengaktifkan tabung bantuan untuk Sulawesi namun dimaklumkan oleh rakan gabungan bahawa setakat ini hubungan jalan raya masih terputus.
“Semalam saya dimaklumkan kami boleh ke Palu melalui Donggala yang mengambil masa selama 18 jam, jadi kita gerakkan pasukan menyelamat untuk turun ke lokasi dan memberi bantuan awal,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ahmad Sani Araby berkata, MAPIM menyasarkan mendapatkan bantuan berjumlah RM500,000 daripada orang ramai untuk misi terbabit.
“Ia meliputi pembelian bantuan asas seperti makanan, selimut, khemah, bahan bakar, pek kebersihan, pek solat, susu kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh mengikuti perkembangan lanjut mengenai misi terbabit menerusi www.billplz.com/RayuanSulawesi.