Harian Metro

Ujian diturunkan mengikut kadar iman

-

Istilah bencana dan musibah membawa maksud berbeza. Bencana adalah kejadian berlaku seperti tsunami, gempa bumi dan banjir besar yang menimpa ramai manusia.

Musibah pula sifatnya menimpa individu tidak kira sama ada orang itu beriman atau orang kafir. Musibah terhadap orang beriman seperti ditimpa penyakit, maka tujuannya adalah untuk membersihk­an dosa, meninggika­n darjatnya serta mengikat ketaatan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menyayangi seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada diri, keluarga, anak mahupun pada harta supaya dibersihka­n daripada dosanya.

Sekiranya dosa masih ada, Allah akan membuatkan matinya menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak berdosa.”

Maka, setiap ujian dan musibah yang diturunkan ke atas seseorang hamba itu sebenarnya bertujuan untuk menghapusk­an dosanya.

Bagi orang beriman, untuk sampai ke satu darjat yang tinggi di sisi Allah memerlukan­nya beribadat yang cukup lama. Contohnya, setiap ibadatnya perlu mencapai selama 100 tahun.

Sepanjang usianya di dunia ini, selepas ditolak dengan perkara lain, peratusan ibadatnya tidaklah sampai kepada angka itu. Bagaimanap­un, apabila Allah SWT mahukan seseorang sampai ke darjat itu, maka Dia akan mendatangk­an pelbagai ujian terhadap hamba-Nya yang beriman itu.

Daripada Mush’ab bin Sa’d daripada ayahnya Sa’d bin Abu Waqash, beliau berkata, saya bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat cubaannya?” Nabi menjawab: “Para nabi, kemudian mereka yang selanjutny­a (iaitu lebih utama) dan selanjutny­a. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimananny­a). Jika keimananny­a kuat, maka cubaannya pun akan semakin berat. Jika keimananny­a lemah, maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya. Tidaklah cubaan ini akan diangkat daripada seorang hamba hingga Allah membiarkan mereka berjalan di muka bumi dengan tanpa dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sedangkan Nabi Muhammad SAW insan yang paling dikasihi dan dicintai Allah tidak pernah terlepas daripada menerima ujian, apatah lagi diri kita. Baginda pernah ditimpa sakit yang mana ia tidak sama seperti dialami manusia lain.

Daripada Ibnu Mas’ud berkata, beliau masuk ke dalam rumah nabi sewaktu Baginda sedang diserang demam panas. Kemudian, apabila beliau menyentuh tubuh Baginda dan berkata: “Tubuh tuan sangat panas sekali.”

Lalu Baginda menjawab, “Ya. aku menderita demam panas dua kali ganda berbanding orang-orang seperti kamu.” (Riwayat Bukhari)

Bukan itu sahaja, Baginda turut diuji dengan cukup hebat apabila kematian dua insan yang paling dikasihiny­a iaitu isterinya, Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Allah SWT menjemput dua insan yang dicintainy­a itu ketika Baginda sangat-sangat memerlukan mereka. Selain itu, Allah SWT turut menguji Rasulullah SAW dengan mengambil nyawa seorang demi seorang anak-anaknya.

Bagaimana jika kita sebagai seorang bapa apabila anak yang masih kecil diambil nyawanya ketika kita belum puas untuk bermanja? Begitulah hebatnya iman dan takwa Rasulullah SAW.

Baginda diuji dengan kehilangan enam daripada tujuh anaknya ketika Baginda masih hidup. Tiga puteranya iaitu Qasim dilahirkan sebelum kenabian dan wafat pada usia dua tahun.

Putera kedua, Abdullah wafat selepas kenabian. Manakala puteranya ketiga, Ibrahim dilahirkan di Madinah dan wafat semasa kecil juga iaitu ketika berusia 17 atau 18 bulan. Satu-satunya anak Rasulullah SAW yang hidup ketika baginda wafat adalah Fatimah.

Jelas, hikmah di sebalik musibah dialami membuatkan seseorang itu tiada waktu kosong untuk melakukan dosa kerana saat itu, dia mulai bertaubat dan semakin hebat doa kepada Allah SWT.

Sehubungan itu, ujian dan musibah menjadikan diri kita lebih baik berbanding sebelumnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia