Harian Metro

Untung RM20,000 setiap kali musim duku

-

Kuala Terengganu: Setiap kali musim duku, penduduk Kampung Beladau Selat di sini, akan digelar sebagai OKB iaitu orang kaya baru.

Ia kerana masing-masing mampu menjana pendapatan RM10,000 hingga RM20,000 semusim hasil menjual buah berkenaan.

Tinjauan ke kampung itu mendapati lebih 10 gerai yang berniaga duku di tepi jalan, selain lima pemborong aktif menjadi pusat pengumpula­n duku untuk dipasarkan ke seluruh negeri, selain pasaran Indonesia.

Jahidin Ismail, 51, berkata, rata-rata penduduk di kampungnya mempunyai kebun duku di kawasan rumah dan tidak kurang lima pokok mesti ada di setiap rumah dengan sepohon pokok mampu memberikan hasil sebanyak 30 hingga 200 kilogram semusim.

“Justeru, bermula Ogos hingga Disember, penduduk di kampung ini akan meraih pendapatan lumayan hasil daripada menjual duku yang ditanam sejak turun temurun ini.

“Tanah di kampung ini memang terlalu sesuai dengan duku kerana banyak pemilik pokok duku di kawasan rumah tidak menanam duku berkenaan, sebaliknya ia tumbuh secara semula jadi yang akhirnya memberi keuntungan kepada tuan tanah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jahidin berkata, selain duku yang dijual secara runcit di tepi jalan dan di hadapan rumah, pemilik kebun duku juga menjual duku mereka secara pukal kepada beberapa wakil pemborong di kawasan kampung untuk dieksport ke Indonesia selain pasaran dalam negara.

“Biasanya duku dari kampung kami digemari dan laris di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur manakala Batam, Indonesia ialah pengimport utama duku Kampung Beladau Selat,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri menjadi pemborong duku sejak 21 tahun lalu dan mampu membekalka­n sebanyak lima tan duku setiap hari kepada penjual buah-buahan di Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

“Harga runcit duku sekarang RM10 untuk empat kilogram dan ia sentiasa berubah bergantung kepada penawaran serta permintaan buah berkenaan,” katanya.

Ismail Ngah, 80, berkata, dia mempunyai sebanyak 70 pokok duku di kawasan rumah dan sehingga kini mampu mengeluark­an hasil yang lumayan kepadanya sekeluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia