Harian Metro

Korban hati demi zuriat

- Kalidevi Mogan Kumarappa kalidevi@hmetro.com.my

Kasih ibu terhadap anaknya tiada batas. Itu gambaran bagi Hamizah Azlan, 28, yang sanggup mendermaka­n sebahagian hati untuk anak tunggalnya yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Namun malangnya Hamizah bersama suaminya, Mohd Riduan Mhd Yunan, 38, buntu untuk mengumpul RM80,000 bagi membiayai kos pemindahan hati anak mereka, Ahmad Zeyad Mohd Riduan di Hospital Renji, Shanghai, China.

Menurut Mohd Riduan, doktor menyatakan jangka hayat bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit biliary atresia adalah dua tahun sekiranya tiada pembedahan hati dilakukan.

“Ahmad Zeyad sudah berusia setahun enam bulan dan disebabkan itu, doktor meminta kami menyegerak­an pembedahan untuknya.

“Dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan, Nadi Permata, kami berjaya kumpul RM120,000 sehingga kini.

“Kos penuh pembedahan untuk anak saya ini adalah RM200,000 dan kami berdua yang bekerja di Majlis Perbandara­n Kajang masing-masing sebagai penghantar surat dan penolong pegawai pertanian buntu untuk mencari baki wang bagi membiayai kos pembedahan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Katanya, selepas dibuat ujian padanan hati, kedua-dua mereka yang berdarah kumpulan O+ sesuai untuk mendermaka­n sebahagian hati kepada Ahmad Zeyad namun atas saranan doktor, Hamizah bersedia mendermaka­n organnya itu.

Menurutnya, Ahmad Zeyad dikesan mengalami penyakit itu selepas 14 hari dilahirkan dan ketika berusia 55 hari, dia sudah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur untuk membuang saluran hempedu.

“Bagaimanap­un selepas pemantauan selama enam bulan, doktor mengesahka­n pembedahan itu gagal dan Ahmad Zeyad perlu menjalani pemindahan hati untuk membolehka­nnya sihat seperti kanak-kanak lain.

“Kami dirujuk ke PPUM dan anak kami diberikan rawatan bagi membolehka­nnya mencapai berat badan ideal sebanyak lapan kilogram selain ada doktor dari China yang memeriksan­ya untuk tujuan pembedahan,” katanya.

Mohd Riduan berkata, doktor memberitah­unya Ahmad Zeyad berpeluang untuk sihat dan hidup tanpa komplikasi seperti perut kembung, tidak bergerak aktif dan tiada masalah kulit kekuningan seperti sekarang.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurka­nnya melalui akaun Maybank milik Mohd Riduan, 5120266621­13.

„ Wanita sanggup derma sebahagian organ tetapi perlu dana RM80,000 untuk pembedahan

 ??  ?? MOHD Riduan bersama isteri Hamizah dan anaknya, Ahmad Zeyad yang menghidap penyakit hati dan memerlukan bantuan bagi rawatan pemindahan.
MOHD Riduan bersama isteri Hamizah dan anaknya, Ahmad Zeyad yang menghidap penyakit hati dan memerlukan bantuan bagi rawatan pemindahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia