Harian Metro

Suspek samun, bunuh ditahan

-

Seremban: Suspek kes samun dan bunuh seorang wanita di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, Fasa 10 di sini, kelmarin, ditahan polis.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dikesan berada di sebuah hotel di Jalan Seremban-Tampin di sini, kira-kira jam 10.30 malam, hari yang sama.

Sumber polis berkata, turut dirampas sebuah motosikal Honda EX5 dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu. Polis turut menemui semula telefon bimbit serta kad sim milik mangsa.

“Polis turut merampas wang tunai lebih RM700 dan menemui slip jual beli emas bernilai RM950 dipercayai milik mangsa,” katanya.

Kata sumber itu, pemeriksaa­n ke atas motosikal suspek menjumpai pakaian, pisau cukur, gumpalan wang kertas dan sebotol arak.

“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku melakukan samun dan pembunuhan menggunaka­n pemotong kertas dibeli di sebuah kedai di bandar Seremban,” katanya.

Menurutnya, ketika tangkapan dibuat, lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol dan dipercayai turut dalam keadaan mabuk ketika melakukan jenayah itu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes curi,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan Gunawathy maut dikelar penjenayah jam 1.30 tengah hari kelmarin oleh suspek yang masuk ke kediamanny­a.

Berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran, suspek meninggalk­an motosikal di luar pagar lalu menerjah masuk sebelum dipercayai berlaku pergelutan antara mereka.

Suspek mengelar leher mangsa sebelum melarikan RM500, telefon bimbit dan barang kemas.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin difahamkan akan mengadakan sidang media berhubung perkembang­an kes itu hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia