Harian Metro

Bekas pengurus bank dijel, didenda RM1 juta

-

Kuala Lumpur: Bekas pengurus kanan bank dihukum penjara enam bulan dan denda RM1 juta di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap lima pertuduhan memperoleh 145,000 unit saham yang tidak boleh didapati secara umum, 11 tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhka­n hukuman itu terhadap Lim Bun Hwa, 42, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa memperoleh 145,000 unit saham melalui akaun Sistem Depositori Pusat milik Lim Boon Cheng, 48, ketika mempunyai maklumat yang tidak boleh didapati secara umum.

Sedangkan tertuduh mengetahui yang maklumat mengenai cadangan tawaran pengambila­lihan bersyarat oleh OSPL Holdings Sdn Bhd untuk memperoleh semua saham undian dalam PacificMas Berhad yang belum dimiliki oleh OSPL Holdings Sdn Bhd.

Maklumat itu tidak boleh didapati secara umum kerana dipercayai mempunyai kesan material ke atas nilai atau harga saham itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 18 Disember dan 31 Disember 2007.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukaka­n mengikut Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmat­an 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 188(4) akta sama memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM 1 juta.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Sekuriti, Hashley Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Chong Loon Ming.

Terdahulu, Hashley memaklumka­n pihak pembelaan mengemukak­an permohonan rundingan bagi pengakuan salah mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

“Tertuduh melalui peguamnya sudah membuat permohonan rundingan pengakuan pada Julai lalu terhadap lima pertuduhan itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia