Harian Metro

‘Budak hingus’ curi motor

- Hafidzul Hilmi Mohd Noor hafidzul@nstp.com.my

„ Pelajar sekolah, enam rakan ditahan dalam Op Lejang di Kajang

Walaupun berusia 15 tahun dan masih bersekolah, namun seorang remaja lelaki dikesan aktif menganggot­ai kumpulan curi motosikal di sekitar daerah ini.

Bagaimanap­un, remaja itu bersama enam lagi rakannya diberkas polis dalam Op Lejang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, 23 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kumpulan terbabit dipercayai aktif mencuri motosikal untuk menjual komponenny­a.

“Kumpulan terbabit berjaya ditumpaska­n susulan penahanan seorang remaja di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi.

“Susulan itu, polis menahan enam lagi remaja berusia 15 hingga 18 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan mendapati ada antara remaja terbabit masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

“Dengan penahanan individu terbabit polis menemui tiga motosikal dan tiga rangka kenderaan itu dipercayai dicuri.

“Pemeriksaa­n lanjut terhadap barang yang dirampas mendapati ada rekod dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati ada dua lagi individu dipercayai ahli kumpulan berkenaan masih bebas.

“Polis percaya kumpulan ini terbabit dengan empat kejadian curi di sekitar Kajang.

“Semua individu terbabit sudah didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, kelmarin, (Isnin lalu) mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia