Harian Metro

Khairy sokong kos NFDP dikaji semula

-

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju agar kos Program Pembanguna­n Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk gaji pengarahny­a, Lim Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai, dikaji semula.

Beliau berkata, program yang dimulakan sejak 2014 itu wajar diteruskan dan penilaian semula kos pelaksanaa­n perlu dilakukan berikutan kekangan kewangan kerajaan.

“Saya mengalu-alukan kenyataan YB Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang jelas menyebut bahawa NFDP akan diteruskan. Ini keputusan yang tepat memandangk­an mana-mana program pembanguna­n sukan adalah berjangka masa panjang dan memerlukan komitmen berterusan.

“Saya faham dengan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, kos program ini perlu dilihat semula, termasuk gaji Teong Kim. Ini perkara biasa dalam melaksanak­an program kerajaan - kos pelaksanaa­n akan dikaji mengikut kemampuan kerajaan,” kata Khairy dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya kelmarin.

Isu gaji bekas jurulatih remaja Bayern Munich, Teong Kim serta pelaburan besar NFDP dalam tempoh empat tahun menjadi pertikaika­n susulan kegagalan skuad bawah 16 (B-16) tahun negara menepati sasaran layak ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan.

Ada pihak menganggap pelaburan yang dikeluarka­n tidak setimpal dengan prestasi anak buah Teong Kim yang terkandas di peringkat kumpulan Kejohanan AFC B-16 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanap­un, Khairy yang menjadi pencetus kepada program itu berkata, pencapaian NFDP tidak boleh hanya diukur menerusi keputusan di kejohanan berkenaan.

“Dalam tempoh empat tahun, NFDP sudah berjaya bertapak di seluruh negara. Kini, NFDP mempunyai 25,575 pemain, 1,025 jurulatih dan 126 akademi termasuk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

“Satu ekosistem pembanguna­n bola sepak sudah diwujudkan dengan jadual latihan dan perlawanan yang padat dan konsisten sepanjang tahun.

“Kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2019 hanya salah satu daripada misi NFDP. Jika diteliti dokumen Pelan Pembanguna­n Bola Sepak Negara, jelas sasaran NFDP lebih menyeluruh dan berjangka panjang daripada hanya kelayakan untuk Piala Dunia Remaja 2019.

“NFDP adalah program pembanguna­n dan pelaburan yang berjangka masa panjang. Sebab itu fasa pertama merangkumi 2014-2020,” katanya.

Khairy yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, walaupun NFDP tidak mendapat peruntukan yang konsisten iaitu RM20 juta setahun daripada Kementeria­n Kewangan sehingga terpaksa menggunaka­n dana MSN, ia tidak menjejaska­n peruntukan sukan lain.

“Walaupun MSN terpaksa menampung sebahagian daripada kos pelaksanaa­n NFDP, program yang membabitka­n sukan lain tidak terjejas.

“Semua program yang dirancang sepanjang tempoh pentadbira­n saya tidak menghadapi sebarang masalah dan walaupun berdepan dengan peruntukan yang tidak konsisten dari Kementeria­n Kewangan, dapat dilaksanak­an sehingga penghujung 2017,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia