Harian Metro

GEMPUR PASAR PATI

Pekerja tandas dakwa hilang pasport antara 53 warga asing ditahan

- Mohd Rafi Mamat cnews@nstp.com.my

Kuantan

Penjaga tandas, pekerja kilang dan restoran antara 53 warga asing yang ditahan kerana tiada dokumen sah dalam operasi khas lebih tiga jam di sekitar Pasar Besar Kuantan di sini, semalam.

Operasi bersepadu itu disertai 63 anggota Jabatan Imigresen Malaysia selain Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Perbandara­n Kuantan (MPK) dan Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkua­saan Imigresen Pahang Mohd Norazam Abdullah berkata, dalam operasi itu pihaknya melakukan pemeriksaa­n ke atas 171 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Mesir.

Menurutnya, jumlah teramai ditahan adalah pekerja kilang dan restoran, kerana tidak memiliki dokumen serta melakukan beberapa kesalahan lain

Katanya, kawasan sekitar Pasar Besar Kuantan antara lokasi tumpuan warga asing terutama pada hujung minggu, sama ada untuk bekerja mahupun bertemu rakan senegara mereka yang berada di sini.

“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Pahang untuk pemeriksaa­n lanjut, terutama membabitka­n dokumen perjalanan,” katanya ditemui selepas operasi tamat, semalam.

Mohd Norazam yang mengetuai operasi terbabit berkata, pihaknya memandang serius kebanjiran warga asing di daerah ini dan operasi dilakukan secara berterusan.

Beliau berkata, majikan juga diingatkan supaya mengambil pekerja asing yang mempunyai dokumen sah bagi mengelak diambil tindakan undang-undang.

“Kita tidak akan berkomprom­i dengan kesalahan begini dan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selain akta lain berkaitan,” katanya.

Sementara itu, warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Adilah, 35, berkata, dia menyesal tidak berusaha menyediaka­n dokumen ditetapkan kerajaan Malaysia walaupun pelbagai tawaran disediakan sebelum ini.

“Selepas pasport hilang, saya tidak berusaha mendapatka­n yang baharu dan akibatnya hari ini saya ditangkap Jabatan Imigresen ketika sedang bekerja menjaga tandas. Saya menyesal,” katanya.

 ??  ?? MOHD Norazam (kanan) memeriksa pendatang asing tanpa izin yang ditahan.
MOHD Norazam (kanan) memeriksa pendatang asing tanpa izin yang ditahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia