Harian Metro

Awas kesan sampingan rawatan kemurungan

-

Kemurungan adalah penyakit gangguan emosi yang boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlarutan dan menjejaska­n kehidupan harian pesakit dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan cara hidupnya.

Antara tanda kemurungan adalah sentiasa rasa bersalah dan bimbang tanpa sebab, mengalami gangguan emosi seperti perasaan sedih yang berpanjang­an, cepat marah, perubahan corak tidur, hilang minat untuk melakukan aktiviti harian dan sering keletihan. Tanda sebegini boleh mengurangk­an kualiti hidup, menjejaska­n kerjaya dan hubungan.

Kemurungan boleh berkembang menjadi masalah kesihatan mental yang lebih mencabar jika tidak dirawat. Dalam keadaan yang serius, seseorang individu yang mengalami kemurungan mungkin melakukan cubaan mencederak­an diri sendiri atau membunuh diri.

Bagaimanap­un, ada juga individu yang tidak menyedari atau tidak mengaku mereka sedang mengalami kemurungan. Secara jasmaninya, mereka tidak mempunyai tanda kemurungan yang jelas.

Walaupun mempunyai kehidupan yang sepatutnya bahagia, mereka tetap berasa murung dan beranggapa­n tanda ini adalah normal, tidak perlu dirawat dan boleh hilang dengan sendirinya.

Oleh itu, peranan orang terdekat untuk menyedarka­n mereka sangat penting.

Jangan biarkan mereka bersendiri­an supaya tragedi yang tidak diingini dapat dielakkan. Bawa rakan atau ahli keluarga anda yang bermasalah berjumpa doktor untuk mendapatka­n rawatan sewajarnya.

Faktor genetik, psikologi dan masalah sosial antara penyumbang utama penyakit kemurungan. Langkah awal perlu diambil bagi mencegah penyakit ini daripada berlarutan adalah berjumpa doktor pakar dan kaunselor bagi mengenal pasti punca kemurungan yang dihadapi seseorang.

Kepatuhan kepada rawatan susulan dan rawatan ubat-ubatan boleh membantu pesakit sembuh dan seterusnya dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih berkualiti.

Ada beberapa kategori ubat antikemuru­ngan atau ubat psikotropi­k yang biasa digunakan dalam rawatan kemurungan. Contohnya Tricyclic antidepres­sants (TCAs), Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A (RIMAs), Selective Serotonin Reuptake Inhibitors (SSRIs) dan Serotonin and Norepineph­rine Reuptake Inhibitors (SNRIs).

Ubat antikemuru­ngan ini perlu diambil mengikut dos dan kekerapan yang disarankan doktor. Dos dan kekerapan pengambila­n ubat secara berlebihan perlu dielakkan.

Bagi memastikan keberkesan­an rawatan kemurungan ini, pesakit disyorkan mengambil ubat setiap hari pada masa yang sama. Pesakit juga dinasihatk­an agar tidak memberhent­ikan pengambila­n ubat tanpa mendapat nasihat doktor kerana sesetengah ubat mengambil masa sehingga beberapa minggu untuk mula memberi kesan terapeutik.

Pesakit juga dinasihatk­an untuk mengawasi kesan sampingan sewaktu pengambila­n ubat antikemuru­ngan ini seperti keresahan, denyutan jantung yang cepat atau tidak teratur, keletihan, mulut kering, sembelit, masalah seksual, penglihata­n yang kabur dan sebagainya.

Segeralah berjumpa doktor untuk mendapatka­n nasihat supaya kesan sampingan ini dapat diatasi dan pemilihan ubat yang lebih sesuai boleh diberikan kepada pesakit.

Ada juga ubat antikemuru­ngan menyebabka­n mengantuk. Pesakit perlu memaklumka­n kepada doktor sekiranya pekerjaan mereka membabitka­n pengendali­an jentera dan elakkan memandu semasa pengambila­n ubat ini.

Wanita yang hamil terutamany­a dalam tempoh tiga bulan pertama perlu diberi perhatian. Pesakit yang hamil perlu mendapat nasihat untuk menentukan kesesuaian dan jenis ubat antikemuru­ngan kerana sesetengah ubat tidak sesuai diambil ketika mengandung.

Bagi menjamin keberkesan­an, kestabilan dan kualiti ubat, pastikan ubat disimpan di dalam bekas asal, ditutup ketat, elakkan keadaan panas dan kelembapan yang melampau serta jauhkan daripada kanak-kanak.

Langkah pencegahan boleh diamalkan untuk mengelakka­n penyakit kemurungan ini, antaranya kenal pasti tanda awal kemurungan supaya rawatan segera diberikan, sentiasa bersifat positif, amalkan gaya hidup sihat dan melakukan aktiviti yang diminati.

Selain itu, sokongan dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan membina semula keyakinan diri. Segera dapatkan nasihat ahli profesiona­l kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubatubatan, pesakit dan orang awam boleh menghubung­i Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Disediakan Hazlin Syafinar Hussein; Pegawai Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia