Harian Metro

MMN Bina diminta segera baiki kerosakan

- Firdaus Hashim firdaushas­him@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kes membabitka­n permasalah­an dan kerosakan kemudahan latihan dan bangunan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bernilai RM85 juta yang ‘dibongkar’ Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman wajar ditanggung kontraktor utama, MMN Bina kerana dikatakan masih dalam tempoh ‘waranti’.

AMD yang baharu siap dibina penghujung Mac lalu difahamkan mengalami pelbagai masalah sejak mula menerima kemasukan kelompok pelatih pertama April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembanguna­n Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, menerusi perjanjian ‘Defect Rectificat­ion’, sebarang kerosakan dalam tempoh dua tahun bermula April 2018 akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor utama.

“Sebagai ‘End User’ NFDP hanya mampu menyuaraka­n keperluan yang semakin meruncing di AMD untuk tindakan pihak berwajib.

“Kami cuba sedaya upaya dengan segala kekurangan itu, dengan harapan keadaan akan bertambah baik. Ibu bapa banyak membantu kerana mereka amat faham, terima kasih.

“Bagaimanap­un, keadaan padang di AMD terutamany­a padang rumput adalah sangat baik. Kami tidak berkomprom­i tentang hal penyelengg­araan padang kerana ia keperluan latihan utama. Cuma ada satu padang tiruan bermasalah dikenalpas­ti selepas hujan yang amat lebat.

“Masalah keselesaan di asrama, pemakanan, logistik dan lain-lain amat payah untuk kami selesaikan kerana ia memerlukan intervensi pengurusan pihak atas. Kami tak terlalu bimbang tentang kerosakan kerana masih dalam tempoh ‘defect’. Tetapi, kontraktor perlu pantas (selesaikan masalah),” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

Menerusi kunjungan mengejut Syed Saddiq di Gambang, petang kelmarin, beliau mengakui terkejut dan melahirkan kekecewaan selepas melihat permasalah­an berlaku di akademi itu.

Selama dua jam di lokasi terbabit, Syed Saddiq mencatatka­n hampir 740 kerosakan dan kecacatan yang dikenal pasti di AMD terutamany­a berkaitan kemudahan pusat latihan seperti padang, gimnasium, asrama dan kualiti makanan yang gagal menepati syarat ditetapkan.

“Perlu difahami juga bahawa kerosakan hanya dikenalpas­ti beberapa minggu ini disebabkan hujan yang amat lebat. Ada juga ‘defect’ yang dah diambil tindakan, tapi rosak semula, maka tindakan susulan harus diambil oleh kontraktor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai pemantau.

“Ini secara tidak langsung akan mengganggu keselesaan kumpulan perintis di AMD,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia