Harian Metro

Sukar beri restu Jalaluddin ceburi bidang artis

-

Shah Alam: Pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan mengakui Allahyarha­m bapanya, Tan Sri Hassan Azhari tidak merestui pada awal pembabitan beliau dalam bidang lakonan.

Beliau berkata, ini kerana hasratnya bertentang­an dengan pendirian Allahyarha­m bapanya itu yang disegani sebagai tokoh agama.

“Arwah pernah tentang minat (dalam bidang seni). Tentangan daripada arwah adalah kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan.

“Namun, lama-kelamaan arwah merestui minat saya selepas melihat kesungguha­n saya dalam bidang seni.

“Saya jadikan kerjaya seni sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarga. Saya buktikan kepada arwah inilah satu-satunya bakat yang saya ada, anugerah daripada Allah untuk menyara keluarga dan akhirnya beliau terima,” katanya kepada pemberita selepas pengkebumi­an Hassan, semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarha­m Hassan, 90, selamat dikebumika­n di Makam Diraja Shah Alam, kira-kira 9.40 pagi.

Allahyarha­m yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengkebumi­an itu.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarha­m.

Allahyarha­m ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaa­n negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarha­m turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia