Tolong hentikan isu timbul kecelaruan
Melaka: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa digesa berhenti menimbulkan isu yang boleh membawa kepada kecelaruan dalam kalangan masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek berkata, rakyat sudah bosan dengan telatah segelintir menteri dalam Pakatan Harapan (PH) yang mengutarakan perkara kontroversi sedangkan mengabaikan banyak masalah rakyat.
Beliau berkata, negara tidak mendapat sebarang keuntungan melalui isu larangan tangkapan khalwat sebaliknya ia mencarikkan agama serta adat budayanya sendiri.
“Sejak munculnya kerajaan baharu, Malaysia tambah bercelaru disebabkan kerajaannya dibarisi menteri bercelaru. Pada saya menteri paling bercelaru adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
“Dr Mujahid dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta tangkapan khalwat, Dr Maszlee Malik dengan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Mohamad Sabu dengan sistem pertahanan negara manakala Lim Guan Eng dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata, kerajaan juga tidak harus memanjangkan isu perkahwinan bawah umur, sebaliknya mengutamakan isu untuk mengatasi kes jenayah zina bawah umur.
Sebelum ini, Dr Mujahid dilaporkan berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi melaksanakan operasi khalwat.