Harian Metro

Kukuhkan JENAMA SENDIRI

- Yusliza Yakimir Abd Talib yusliza@hmetro.com.my

Memulakan perniagaan dengan produk sendiri memerlukan modal besar dan tidak semua orang mampu berdepan risiko kerugian jika produk gagal di pasaran.

Maka, menjadi pengedar, stokis, ejen jualan atau dropship adalah antara penyelesai­an untuk menjana pendapatan menerusi komisen dan keuntungan sekiranya produk berjaya dijual.

Risikonya tidak sebesar pengeluar produk yang perlu memikirkan kos pengeluara­n, pembuatan, strategi pemasaran dan risiko barang tidak laku atau tidak mendapat sambutan.

Ada yang menganggap menjual produk orang lain dengan mendapat sedikit keuntungan tidak mampu membuat seseorang itu kaya dan mengaut keuntungan besar.

Bagaimanap­un, pasangan ini berjaya membuktika­n tidak semestinya perlu menjadi pengasas produk atau mengeluark­an barangan sendiri untuk berjaya dalam perniagaan.

Mereka hanya bermula dengan menjual barangan dan produk syarikat lain sebagai asas perniagaan, tapi masih memperoleh pendapatan lumayan.

Pasangan suami isteri, Mts Qairy Maheran, 40, dan Aily Aainaa Aisha Mohd Ali, 33, yang mengasaska­n Empayar AilyQairy membuka butik di Batu Pahat, Johor untuk mengukuhka­n kedudukan dan jenamanya dalam pasaran tempatan dan memberikan kemudahan kepada pelanggan bagi mendapatka­n produk daripada pelbagai jenama terkenal.

“Butik ini menempatka­n lebih lima jenama dan menyediaka­n pakaian, produk kecantikan, makanan dan minuman, produk kecantikan dan kesihatan.

“Sebelum ini, kami menjalanka­n perniagaan secara dalam talian dan mempunyai stokis dan ejen. Kehadiran butik ini akan memudahkan urus niaga kami terutama di bandar kecil,” katanya.

Menariknya, mereka sanggup melepaskan jawatan ‘kukuh’ sebagai guru dan peguam demi merealisas­ikan minat kedua-duanya untuk berniaga.

Qairy berkata, meskipun memiliki kerjaya menjamin masa depan, bidang perniagaan sudah lama menjadi minat mereka berdua.

“Kami berdua memang minat berniaga. Tetapi, awalnya kami hanya lakukan secara sambilan memandangk­an kami ada kerjaya masing-masing ketika itu.

“Lagipun, kerjaya ini adalah impian keluarga yang perlu kami tunaikan. Ibu mahu saya menjadi guru manakala keluarga Aily pula mahu dia jadi peguam.

“Dek minat yang mendalam untuk berniaga, kami buktikan boleh berjaya dalam perniagaan walaupun terikat dengan kerjaya. Alhamdulil­lah kami sudah pun tunaikan impian keluarga dan kini mendapat restu pula untuk teruskan cita-cita sebagai usahawan,” katanya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara setahun hingga empat tahun itu, kerana kesibukan tugas dan kesukaran membahagik­an masa untuk berniaga, mereka akhirnya nekad melepaskan jawatan masing-masing.

Katanya, dia menamatkan profesion perguruan pada Mac lalu manakala Aily terlebih dulu melepaskan jawatan sebagai peguam di firma guaman pada Disember tahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan.

Qairy berkata, keputusan (berhenti kerja) sudah agak lama dibuat tapi mereka mahu buktikan kejayaan dalam perniagaan pada keluarga terlebih dulu.

Maka, mereka usahakan perniagaan secara sambilan hingga berjaya dan baru mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan.

“Pada mulanya agak sukar memandangk­an kami perlu ulang alik dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur untuk mengambil stok barangan dan pada masa sama, terikat dengan kerjaya tetap.

“Tapi, penat lelah kami berbaloi kerana selepas beberapa tahun, kami dapat membuka butik sendiri bagi menempatka­n semua barangan yang dijual sebagai pengedar.

“Selain itu, di ruangan atas butik pula menempatka­n dewan seminar untuk kami melatih stokis dan ejen bagi mengukuhka­n pasukan kami terutamany­a di sekitar daerah ini,” katanya.

Menurutnya, kepuasan berniaga itu lebih besar kerana menerusi latar belakang dalam dunia pendidikan dapat terus dipraktikk­an dengan menjadi ‘pendidik’ kepada pasukannya terdiri daripada 35 stokis, 600 ejen dan lebih 1,000 dropship.

Baginya, tidak semestinya perlu menjadi pengasas atau pengeluar barangan dan produk sendiri untuk berjaya, sebaliknya bermula dengan produk orang lain juga boleh berjaya menjana pendapatan.

“Selain itu, memilih suami atau isteri sebagai rakan niaga juga satu kelebihan kerana kita mengenali pasangan luar dan dalam. Kepercayaa­n yang dibina juga telus dankalauad­amasalah, sama-sama akan terkesan dan berusaha mencari penyelesai­an hingga mencapai kejayaan,” katanya.

 ??  ?? AILY dan Qairy menerima penghargaa­n sebagai stokis dengan jualan tertinggi.
AILY dan Qairy menerima penghargaa­n sebagai stokis dengan jualan tertinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia