Harian Metro

Hafizh lega raih mata di GP Thailand

- Fadhli Ishak fadhli.ishak@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya menamatkan saingan dengan memperoleh mata sejak pusingan di Republik Czech, Ogos lalu apabila memberikan tunggangan terpuji di Grand Prix (GP) Thailand semalam.

Bermula dari petak ke-18 di Litar Buriram, Hafizh berjaya melonjak dan melintasi garisan penamat di tempat ke-12.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan Pescao itu ketinggala­n 17.691 saat (s) di belakang juara, Marc Marquez yang mencatat masa 39 minit 55.722s untuk memperoleh empat mata.

Paling penting, dia muncul pelumba baharu terbaik minggu ini dengan mengetepik­an pendahulu keseluruha­n Franco Morbidelli yang menamatkan saingan di tempat ke-14.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mengakui dia bergelut untuk menyesuaik­an diri dengan suhu jentera pada awal perlumbaan.

“Saya sangat gembira kerana kembali dapat meraih mata. Pada awal hujung minggu ini, bermula dari sesi latihan bebas pertama hingga ujian masa, saya sentiasa menghuni tempat ke-18 dan sedikit kecewa. Bagaimanap­un, saya tidak berputus asa.

“Saya bekerja keras dengan pasukan dan mereka mempercaya­i saya, di mana saya sangat memerlukan­nya. Pada awal perlumbaan, jentera saya terlalu panas.

“Suhu minyak terlalu panas dan saya tidak merasai kekuatan jentera saya. Saya cuba untuk menyesuaik­an diri dan mencari jalan untuk menyelesai­kannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak menghampir­i pelumba lain dengan terlalu dekat.

“Pada awalnya saya berjaya memintas Takaaki Nakagami dan merasakan mampu untuk mengejar Morbidelli, akhirnya saya berjaya mengatasin­ya dan cuba untuk mengekalka­n rentak tunggangan.”

Morbidelli masih lagi mendahului kedudukan keseluruha­n pelumba baharu terbaik dengan 33 mata namun Hafizh ketinggala­n lima mata.

“Saya masih perlu bekerja keras untuk pusingan seterusnya dan cuba untuk merapatkan jurang dengan Morbidelli,” kata Hafizh.

Dalam saingan Moto2, pelumba Finland, Niki Tuuli (PETRONAS Sprinta Racing) beraksi cemerlang untuk meraih mata pertamanya selepas menduduki tempat ke-15, manakala Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) di tempat ke-21.

Adam Norrodin (PETRONAS Sprinta Racing) juga berjaya meraih mata dalam perlumbaan Moto3 apabila menduduki tempat ke-15, manakala rakan sepasukann­ya, Ayumi Sasaki terbabit dalam kemalangan dan gagal menamatkan saingan.

Perlumbaan seterusnya ialah di Litar Motegi, Jepun yang akan berlangsun­g dari 19 hingga 21 Oktober.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia