Harian Metro

Bukan piala ‘sampah’: Sulaiman

- Firdaus Hashim firdaushas­him@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Ketika ada pihak beranggapa­n saingan Piala Cabaran sebagai piala ‘sampah’, pengendali UKM FC Sulaiman Husin sebaliknya menegaskan ia adalah satu saingan berprestij dan berjanji akan membariska­n skuad terkuat pada aksi final pertama berdepan Terengganu FC II di Stadium Shah Alam, malam ini.

Jelas Sulaiman, kejayaan mara ke pentas final buat pertama kali dalam saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga-M) nyata menyuntik semangat skuad The Varsity Boys untuk sekali lagi melakukan kejutan selepas menewaskan pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim II di separuh akhir sebelum ini.

“Ada yang kata Piala Cabaran ini macam ‘lekeh’ tapi bagi saya tidak. Sebaliknya daripada kejohanan ini pasukan-pasukan dari Liga Perdana mahupun Liga Super boleh memberi minit perlawanan kepada pemain-pemain yang tidak dapat bermain di Piala Malaysia.

“Malah, sepatutnya kalau diikutkan setiap pasukan perlu bermain dalam 30 perlawanan untuk semusim. Jadi dengan adanya piala ini, ia dapat menambah jumlah aksi serta membolehka­n kelab dan persatuan daripada hanya membayar gaji tanpa aksi kompetitif.

“Bagi kami pula yang akan beraksi di final esok (malam ini), saya tetap serius memastikan kami dapat memberi tentangan sengit kepada Terengganu biarpun mereka dibarisi tonggak berpengala­man dan mahal.

“Memandangk­an trofi ini baru pertama kali dianjurkan, maka kami akan berusaha untuk menjadi pasukan pertama menjulang dan memahat nama UKM FC dalam sejarah liga tempatan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, semalam.

Pada aksi separuh akhir minggu lalu, UKM FC berjaya mengejutka­n JDT II dengan agregat 2-1 manakala Terengganu FC II pula mara selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agregat 5-0.

Mengulas pertembung­an itu, Sulaiman yang juga bekas pemain Kuala Lumpur mengingatk­an anak buahnya agar tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh dijadikan ‘modal’ buat jentera serangan lawan diketuai penyerang import mereka iaitu Akanni Sunday Wasiu.

“Kami tahu mereka mempunyai Akanni yang mampu meranapkan impian UKM jika diberi ruang untuk bergerak.

“Maka saya menasihatk­an pemain supaya tidak melakukan kesilapan dan cuba beraksi seperti biasa tanpa memikirkan soal final dan sebagainya kerana ia boleh memberi tekanan kepada pasukan.

“Namun berdasarka­n persiapan pasukan sepanjang sesi latihan diadakan, saya lihat motivasi pemain nyata berada di tahap tertinggi dan mereka sudah tidak sabar untuk turun dan cuba mencari kemenangan tanpa dibolosi sebagai modal terbaik sebelum aksi timbal balik di Kuala Terengganu nanti,” katanya.

 ??  ?? AKSI pemain UKM (kiri) ketika berdepan JDT II.
AKSI pemain UKM (kiri) ketika berdepan JDT II.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia