Harian Metro

BEDAH SIASAT SELEPAS DIGALI

„ Jenazah Nazrin dibawa ke PPUM untuk proses bedah siasat kali kedua

- Safeek Affendy Razali cnews@nstp.com.my

Jenazah Allahyarha­m Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat kedua.

Jasad Nazrin digali keluar dari kuburnya di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara sekitar jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam oleh kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dipantau pegawai Institut Perubatan Forensik Negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, proses penggalian semula kubur dijalankan dengan penuh berhati-hati dan teliti demi menghormat­i jenazah dan ahli keluargany­a.

“Proses penggalian semula dilakukan mengikut prosedur ditetapkan mengikut undang-undang Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pada masa ini tumpuan kami adalah proses siasatan berdasarka­n laporan bedah siasat yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya belum dapat menentukan tarikh sebenar semua proses ini berakhir termasuk mengebumik­an semula jenazah Nazrin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, proses penggalian semula kubur berakhir jam 12.45 tengah hari semalam.

Katanya, jenazah diiringi kawalan ketat polis kemudian dibawa terus ke PPUM untuk urusan bedah siasat.

Selain dikendalik­an pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), proses penggalian semula kubur turut dipantau Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), doktor dan pegawai perubatan PPUM serta peguam pemerhati dan ahli keluarga Allahyarha­m Nazrin.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara pada 14 Jun lalu dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Pada mulanya polis mengklasif­ikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu akibat kebakaran berdasarka­n laporan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). Bagaimanap­un, kes itu bertukar menjadi kes bunuh selepas pihak bomba menemui kesan petrol di bilik tidur si mati sebelum wujudnya elemen jenayah. Susulan itu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 43, dan dua anaknya direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pada akhir bulan lalu, abang mangsa, Dr Malek Hassan menghantar permohonan kepada pihak mahkamah untuk membuat bedah siasat kedua ke atas jasad adiknya.

 ??  ??
 ??  ?? VAN membawa keluar jenazah Nazrin selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, semalam.
VAN membawa keluar jenazah Nazrin selepas proses menggali semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia