Harian Metro

Pindah lembu sebelum bencana

-

Jitra: “Saya tidak sedap hati apabila hujan selama dua hari berturut-turut dan air mula naik di tepi rumah sebelum mengambil keputusan memindahka­n lembu peliharaan ke kawasan lebih tinggi petang kelmarin (Isnin),” kata mangsa banjir, Abu Bakar Othman, 59.

Abu Bakar berkata, dia terpaksa berbuat demikian selepas mendapati air mula naik hingga paras dua meter.

Katanya, tiga lembu yang nilai keseluruha­nnya hampir RM10,000 dipelihara di kandang bersebelah­an rumahnya di Kampung Padang Panjang, di sini sejak beberapa bulan lalu untuk dijual.

“Rumah saya kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat berterusan, tetapi akan surut tidak lama kemudian.

“Tahun lalu, kawasan ini pernah dinaiki air sebanyak tujuh kali hinggakan kami sudah lali menghadapi banjir kilat. “Namun, banjir yang paling teruk pada 2005 apabila banyak lembu peliharaan penduduk mati, tetapi saya bernasib baik kerana sempat menyelamat­kan lapan lembu peliharaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, disebabkan arus sungai yang kuat dalam kejadian banjir kelmarin, bahagian bawah kandang lembu itu sudah rosak dan perlu dibaiki.

Katanya, setakat ini paras air masih di tahap satu meter dan berharap air akan surut dengan cepat bagi membolehka­n tiga lembu peliharaan­nya itu dibawa pulang.

Seorang lagi penduduk, Ropiah Budin, 56, berkata, mereka sekeluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di PPK Lubuk Batu pada jam 1.30 pagi kelmarin selepas paras air meningkat.

Katanya, mereka sekeluarga hanya membawa dokumen penting ke PPS.

“Sudah lama kami tidak gunakan perabot dalam rumah kerana kejadian banjir pada 2015 lalu menyebabka­n banyak perabot musnah dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia