Harian Metro

Tertuduh cadang tukar hukuman

-

Kuala Lumpur: Permintaan seorang lelaki yang mahu Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman sebat dan mengurangk­an hukuman penjara yang dikenakan terhadapny­a, menarik perhatian Hakim Datuk Azman Abdullah serta orang awam yang turut berada di situ.

Robin Chow Yan Pun, 30, membuat permintaan itu atas alasan mahu segera keluar dari penjara.

Ia berikutan Hakim Azman membenarka­n permohonan pihak pendakwaan yang merayu atas hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Chow.

Hakim Azman menjatuhka­n hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap Chow atas kesalahan menjadi orang tengah dalam aktiviti persundala­n.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhka­n hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan terhadap Chow atas kesalahan itu.

Dalam menjatuhka­n hukuman, Hakim Azman berkata, tertuduh perlu menjalani penjara lebih lama bagi memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

“Hukuman ini sepatutnya memberi ketakutan pada kamu dan juga orang lain yang mahu membuat kesalahan yang sama. Jika ia tidak mendatangk­an ketakutan, tiada guna mahkamah menjatuhka­n hukuman.

“Semoga kamu akan insaf dengan perbuatan kamu,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Pada 14 Mac lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhka­n hukuman terhadap Chow selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Chow mengaku bersalah bertindak sebagai orang tengah dan membantu dalam aktiviti persundala­n di sebuah apartmen di Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, di sini pada jam10.45 malam, 25 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia