Harian Metro

‘TANGANKU BELUM PULIH SEPENUHNYA’

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@nstp.com.my

„ Kumar berdepan risiko kecederaan

jika turun beraksi di Oman

Penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar mengaku masih tidak pasti sama ada dapat beraksi di saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman bermula 18 Oktober ini berikutan kecederaan tangan kanan yang dialaminya ketika Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, bulan lalu.

Penjaga gol berusia 39 tahun itu enggan mengambil risiko untuk beraksi di Oman andai belum pulih sepenuhnya kerana pentas Piala Dunia di Bhubaneswa­r, India hujung bulan depan lebih penting baginya.

Kumar berkata, dia perlu melihat kepada perkembang­an semasa serta nasihat doktor berhubung tahap kecederaan­nya pada minggu ini sebelum membuat keputusan sama ada boleh menyertai rakan sepasukan ke Oman atau sebaliknya.

“Soal fizikal semua tak ada masalah, cuma saya masih rasa sakit di tangan kanan.

“Kali pertama pakai kelengkapa­n penjaga gol semalam (kelmarin) rasa tak selesa terutama di pergelanga­n tangan kanan.

“Saya tak boleh menggengga­m kayu dengan kuat. Apabila terkena lantunan bola di tangan kanan, gegaran yang dirasai amat sakit,” katanya.

Jelas Kumar, doktor menasihatk­annya supaya memberi fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya.

“Doktor tak mahu saya mengalami kecederaan yang lebih teruk. Beliau suruh saya berusaha untuk pulih tapi jika tak boleh, beliau minta saya jangan ambil risiko.

“Jurulatih (Roelant Oltmans) pun minta saya cuba untuk pulih. Jika tak boleh, beliau juga tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Selain Malaysia, Trofi Juara-Juara Asia menyaksika­n penampilan juara bertahan, India, Pakistan, Korea Selatan, Jepun dan Oman selaku tuan rumah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia