Harian Metro

Ribuan wanita berarak bantah tindakan Trump

-

Ribuan wanita dijangka berarak di bandar raya ini dan membuang undi pilihan raya pertengaha­n penggal lebih awal sebagai bantahan terhadap tindakan pentadbira­n Presiden Donald Trump yang dianggap ‘anti-wanita’ kerana tetap melantik Brett Kavanaugh sebagai Hakim Mahkamah Agung.

Bantahan anjuran Women’s March Chicago itu dianggap tanda-tanda kejatuhan politik dalam perjuangan partisan Republikan berikutan pelantikan Kavanaugh walaupun beliau menghadapi dakwaan serangan seksual.

Penganjur mengadakan perarakan itu menjelang pilihan raya pertengaha­n penggal pada 6 November depan, apabila Demokrat disebut-sebut bakal mengambil alih kawalan dewan rendah Kongres daripada Republikan.

Perarakan sama dijadualka­n diadakan hujung bulan ini di negeri lain, termasuk kubu kuat Republikan di Texas, Georgia dan Carolina Selatan.

“Wanita kecewa dengan pelantikan Kavanaugh,” kata jurucakap Women’s March Chicago, Harlene Ellin kepada AFP.

Semua, kecuali seorang anggota Republikan dalam Senat mengundi memilih Kavanaugh ke Mahkamah Agung, manakala semua, kecuali seorang anggota Demokrat mengundi menentang pemilihan itu.

Women’s March

Chicago dalam kenyataan berkata, ia menyasar ‘agenda anti-wanita Rumah Putih dan parti Republikan.’

Selepas perarakan, penunjuk perasaan akan ke lokasi pengundian awal untuk mengundi.

Republikan ketika ini menguasai Rumah Putih dan kedua-dua dewan Kongres, namun ramai dalam parti itu bimbang pengundi anti-Trump akan mengatasi penyokong Presiden dalam pilihan raya pertengaha­n penggal.

- AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia