Harian Metro

Jual bayi melalui Instagram

-

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia menumpaska­n sindiket penjualan bayi melalui Instagram selepas menahan empat orang, termasuk seorang bakal pembeli di Bali.

Menurut polis semalam, siasatan dimulakan selepas munculnya status meragukan di media sosial menawarkan bayi luar nikah sebagai anak angkat.

Menurut jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera, seorang lelaki yang mengendali­kan akaun Instagram berkenaan dan seorang wanita 22 tahun yang menawarkan anaknya sebagai anak angkat ditahan minggu lalu.

Seorang bidan dan bakal pembeli juga ditahan ketika polis memintas urusan jual beli itu di Surabaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Surabaya, Sudamiran berkata, semalam, wanita berkenaan mahu menjual anak ketiganya itu, bayi berusia 11 bulan, kerana masalah hutang.

“Bayi itu ditawarkan untuk dijual dengan harga 15 juta rupiah (RM3,742).

“Menurut wanita itu, bayi berkenaan lahir hasil hubungan luar nikah,” katanya.

Menurutnya, pengendali akaun Instagram itu menerima bayaran 2.5 juta rupiah (RM682) sebagai orang tengah.

Akaun Instagram berkenaan yang mempunyai 760 pengikut, masih aktif sehingga semalam. Ia menyiarkan puluhan gambar hitam putih ultrabunyi dan wajah ibu yang dikaburkan.

Ia menawarkan ‘penyelesai­an keluarga’ serta maklumat lengkap wanita yang mahu menjual anak mereka, termasuk umur, agama, usia kehamilan dan keadaan kesihatan.

Keempat-empat suspek menghadapi hukuman sehingga 15 tahun penjara. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia