Harian Metro

EPISOD DUKA BERAKHIR

- Norhayati Nordin yati@hmetro.com.my

Nabila semakin ramai peminat, karier seni semakin mantap

Jika di awal kemunculan­nya dalam industri hiburan, Nabila Razali, 26, sering dikecam penonton.

Hinggakan dia pernah dilabel sebagai ‘chipmunk’ kerana vokal nyanyian yang dianggap ‘ke laut’.

Namun begitu, episod duka yang dilalui itu berubah apabila Nabila kini semakin ramai pengikut.

Terus memacu laju ke depan kembara seninya sebagai penyanyi dan pelakon, Nabila akui dia amat terharu.

“Saya gembira dan bersyukur segala usaha dilakukan untuk mantapkan karier seni semakin berhasil.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua peminat yang tidak jemu memberi sokongan.

“Saya memang berusaha gigih memandangk­an kini peluang pun sentiasa ada,” katanya.

Kata Nur Nabila Mohd Razali, dia puas hati karier nyanyian dan lakonan bergerak seiring.

Untuk nyanyian, Nabila berjaya menambat hati pendengar menerusi dua singlenya iaitu Cemburu dan Pematah Hati.

Bagi lakonan pula, Nabila memulakan langkahnya melalui drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama Alif Satar.

Lakonannya bersama Syafiq Kyle untuk telefilem Pengantin Lari Culik

Artis baru-baru ini, turut jadi perhatian.

Malah, kebanyakan penonton menyukai gandingan mereka yang dianggap serasi dan bersahaja.

Mengulas pengalaman berlakon dengan Syafiq, katanya, semua berjalan lancar dan dipermudah­kan.

“Syafiq pelakon berbakat besar. Senang bekerjasam­a dengannya kerana dia banyak membantu.

“Saya tidak berhadapan tekanan dan kami boleh bekerja dengan baik. Suasana penggambar­an pun ceria.

“Selain itu, kami juga berbincang dengan pengarah untuk persembaha­n lakonan yang mantap,” katanya.

Ditanya mengenai watak, Nabila berkata, setakat ini dia tidak memilih karakter untuk dilakonkan.

“Asalkan skripnya menarik dan watak itu sesuai, saya terima. Bagi saya, tak perlu cerewet memilih.

“Setakat ini, saya selesa dengan watak dilakonkan, malah banyak yang perlu dipelajari lagi,” katanya.

Kini, Nabila muncul dengan drama Cintaku Di Bumi Izmir di Hypp TV bersama Hefny Sahad dan Raysha Rizrose.

Melakonkan watak Fara,Nabila berkata, dia bersolek ringkas untuk karakter itu.

Katanya, Fara seorang mahasiswa universiti di Turki dan solekan harus sesuai dengan watak untuk lebih berkesan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia