Harian Metro

Tiada rasuah pembinaan dewan SMK Hutan Melintang

-

Ipoh: Siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah terhadap isu Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang sebelum ini didakwa hasilnya tidak setimpal kos pembinaan.

Pengarah SPRM Perak Datuk Zainul Darus berkata, siasatan pihaknya mendapati projek pembinaan dewan bernilai RM600,000 itu mengikut spesifikas­i yang ditetapkan.

“Kes (pembinaan dewan yang didakwa ada unsur rasuah) dah selesai, tiada apa-apa isu rasuah dan semuanya mengikut spesifikas­i (yang ditetapkan),” katanya di sini, semalam.

Pada 27 Januari lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berang melihat mutu pembinaan Dewan Terbuka SMK Hutan Melintang yang dirasmikan­nya dan disifatkan memalukan beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ia berikutan spesifikas­i yang ada terlalu banyak kekurangan berbanding kos pembinaan RM600,000 menggunaka­n peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pembinaan dewan terbuka dinamakan Balai Utama SMK Hutan Melintang itu diluluskan pada 25 September 2015 dan ia mula dibina pada Mac dan siap 31 Disember 2016.

Berikutan itu, Ahmad Zahid mengarahka­n SPRM menyiasat serta mengambil tindakan jika ada pihak melakukan kesalahan dan penyelewen­gan.

Susulan arahan itu, pada Februari lalu SPRM Perak mengambil keterangan 16 individu membabitka­n pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan kontraktor.

Media sebelum ini melaporkan Zainal berkata, siasatan dijalankan termasuk mengenai sebut harga projek pembinaan yang peruntukan­nya dikeluarka­n Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n (ICU) JPM.

Katanya, siasatan turut membabitka­n aspek pematuhan spesifikas­i bangunan sama ada mengikut piawaian ditetapkan atau tidak.

Sepanjang siasatan, SPRM meminta Jabatan Penilaian membuat penilaian berhubung projek itu supaya tidak berat sebelah memandangk­an pembinaan dewan dipantau JKR negeri yang bertindak sebagai perunding aspek teknikal.

 ??  ?? ZAINUL
ZAINUL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia