Harian Metro

Tahan empat remaja asyik berlumba

-

Mendapat jolokan nama litar grand prix super dalam kalangan geng rempit di ibu kota. Ini punca Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula dari Sentul ke Gombak menjadi pilihan aktiviti perlumbaan haram saban minggu.

Kebanyakan peserta kegiatan ini adalah golongan belia termasuk pelajar sekolah yang tidak gentar mempertaru­hkan nyawa demi nama.

Kegiatan haram itu tambah rancak apabila segelintir mat rempit ini mengusung teman wanita untuk menonton perlumbaan haram itu di tepi lebuh raya.

Terbaru pada malam kelmarin, Unit Risikan dan Operasi (RO), Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan empat individu yang asyik berlumba sesama sendiri di ‘litar’ berkenaan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kegiatan mat rempit atau samseng jalanan di ibu kota semakin menurun ketika ini ekoran tindakan agresif pihaknya melakukan operasi hampir setiap minggu.

Namun menurutnya, laluan Lebuhraya DUKE sepanjang 11 kilometer dari persimpang­an di Sentul dan berakhir di Gombak antara litar popular mat rempit menguji jentera masing-masing.

“Hasil pemerhatia­n kami, ada sebilangan kecil golongan muda tidak serik menjadikan laluan di lebuh raya sebagai tempat berlumba dan melakukan pelbagai aksi bahaya.

“Dalam operasi di Lebuhraya DUKE bermula jam 1 pagi, kami menahan empat individu berusia 14 hingga 19 tahun yang berlumba sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dekat Jalan Tun H S Lee untuk tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

 ??  ?? EMPAT individu berusia 14 hingga 19 tahun ditahan ketika berlumba di Lebuhraya DUKE.
EMPAT individu berusia 14 hingga 19 tahun ditahan ketika berlumba di Lebuhraya DUKE.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia