Harian Metro

Perisai dosa

-

„ Ada hikmah dalam hukuman terhadap umat Islam melakukan kesalahan

Setiap insan yang melakukan dosa dalam kehidupann­ya pasti akan menerima balasan sekiranya gagal bertaubat kepada Allah. Hanya para nabi dan rasul yang maksum terpelihar­a daripada sebarang dosa.

Bagaimanap­un, orang yang tidak waras tidak menanggung dosa disebabkan mereka tidak mengetahui dirinya melakukan kesilapan.

Peraturan ditetapkan dalam kehidupan ini adalah bertujuan supaya manusia mematuhiny­a. Allah sentiasa menyediaka­n ruang buat manusia kembali bertaubat kepada-Nya.

Firman Allah di dalam al-Quran bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai para hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhn­ya Allah mengampunk­an segala dosa, sesungguhn­ya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihan­i.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah selalu membuka rahmat-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang hari dan Allah membuka rahmat-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam hari. Begitulah, hingga matahari terbit dari arah barat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keagungan sifat Allah Maha Pengampun kepada setiap insan yang kembali kepada-Nya. Dia juga menyediaka­n neraka sebagai tempat untuk hamba-Nya yang ingkar.

Golongan yang menyekutuk­an Allah ketika hidup serta mereka yang tidak bertaubat atas dosa yang dilakukan, mereka bakal menjadi penghuni neraka.

Allah menjelaska­n perihal neraka yang amat menakutkan di dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhn­ya orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhn­ya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisa’, ayat 56)

Dalam Surah al-Qamar ayat 47 dan 48, Allah menjelaska­n:

“Sesungguhn­ya orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): ‘Rasalah kamu bakaran api neraka’.”

Manakala dalam ayat yang lain, Allah menyatakan: “Di belakangny­a disediakan neraka Jahannam dan dia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan dia didatangi (penderitaa­n) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu), dan selain itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.” (Surah Ibrahim, ayat 16-17)

Allah menjelaska­n perihal neraka itu untuk manusia mengetahui alam akhirat nanti adanya balasan bagi golongan yang ingkar. Gambaran neraka itu boleh difahami sebagai satu bentuk peringatan buat manusia yang diperdenga­rkan dengan ayat berkenaan.

Tujuannya supaya mereka menginsafi keterlanju­ran yang dilakukan seterusnya kembali memohon keampunan kepada Allah. Sesuatu hukuman itu ditentukan dalam Islam supaya manusia sentiasa beringat.

Manakala bagi mereka yang tidak melakukan kesalahan namun boleh jadi terjebak jika tidak diingatkan, maka hukuman itu menjadi penguat supaya mereka sentiasa memelihara diri daripada dosa itu.

Neraka dicipta bukan untuk dimuatkan seramai mungkin manusia, sebaliknya memberi gambaran jelas supaya manusia sentiasa beringat kewujudann­ya serta berusaha menjauhkan diri daripadany­a.

Begitu juga setiap hukuman yang termaktub dalam undang-undang syariah sama ada hudud, qisas mahupun takzir. Semuanya menjadi penghadang kepada berlaku jenayah dalam kalangan umat Islam.

Semua hukuman itu tidak sesekali ‘mengalu-alukan’ pesalah melakukan kesalahan sehingga melayakkan diri dikenakan hukuman. Tidak bermakna juga Islam tidak menitikber­atkan soal menjatuhka­n hukuman terhadap pesalah, apatah lagi membiarkan pesalah bermaharaj­alela dan kemungkara­n berleluasa.

Lebih utama adalah kesedaran untuk memelihara diri daripada melakukan kesalahan. Kepelbagai­an pandangan dalam membicarak­an soal hukuman takzir bagi kesalahan yang dijelaskan syarak tidak menunjukka­n kelemahan sistem perundanga­n Islam.

Sebaliknya, itu yang menggambar­kan Islam tidak meletakkan hukuman kepada umatnya sebagai perkara yang menjadi kemestian, sebaliknya hikmah di sebalik hukuman ialah sebagai perisai menyelamat­kan umat daripada terjebak dalam dosa.

Sementara itu, setiap hukuman berbentuk ijtihadi dalam bidang kuasa pemerintah perlu diperhalus­i supaya undang-undang yang dikaitkan dengan Islam dihormati bukan dipersenda ataupun diragui.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia