Harian Metro

Jamin baki 23 pakej Lebuh Raya Pan Borneo diteruskan

-

Kota Kinabalu: Kementeria­n Kerja Raya memberi jaminan baki 23 pakej pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang belum diserahkan kepada kontraktor tetap diteruskan.

Menterinya, Baru Bian berkata, semua jajaran bagi lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu kekal, manakala kosnya masih menunggu kajian semula dilakukan Kementeria­n Kewangan.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementeria­n Kewangan untuk mengenal pasti pendekatan atau model terbaik bagi meneruskan baki pakej yang belum dilaksanak­an.

“Ia adalah projek terbesar di Sabah dan Sarawak, kita tiada lebuh raya lain di sini, jadi perlu teruskan projek ini termasuk baki pakej belum bermula daripada 35 pakej yang ada.

“Setakat ini hanya 12 pakej yang sudah diagihkan kepada kontraktor,” katanya pada sidang media berkaitan projek Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, semalam.

Baru berkata, menerusi perbincang­an dengan Kementeria­n Kewangan, pelaksanaa­n 23 pakej selebihnya mungkin dilaksanak­an secara berperingk­at tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Katanya, Kementeria­n Kewangan akan melantik juruperund­ing bebas bagi mengkaji semula kos projek itu sebelum membanding­kannya dengan kos dikeluarka­n oleh kerajaan terdahulu.

“Selepas membuat perbanding­an kos, barulah kita berunding dengan syarikat rakan penyampai projek (PDP) untuk menurunkan kos sebab kita tidak boleh merombak perjanjian yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya.

Berkaitan masalah pelaksanaa­n 12 pakej yang sudah diserahkan kepada kontraktor di Sabah, beliau berkata, isu utama kelewatan yang dialami adalah berkaitan pengambila­n tanah selain kelewatan syarikat utiliti mengalihka­n struktur masing-masing.

Katanya, kerjasama kerajaan negeri dan PDP diperlukan untuk mengatasi isu berkenaan bagi memastikan pelaksanaa­nnya dapat dipercepat­kan.

Menurutnya, kos projek fasa satu Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang bermula pada April 2016 dan dijadualka­n siap pada 2021 itu sebelum ini dianggarka­n mencecah RM12.86 bilion.

 ??  ?? BARU
BARU

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia