Harian Metro

Biar mereka berjasa dulu!

- Fahmy Azril Rosli cnews@nstp.com.my

„ LFL gesa amalan pemberian darjah kebesaran kepada ahli politik dihentikan

Kumpulan peguam dikenali sebagai Lawyers for Liberty (LFL) menggesa supaya ‘amalan’ pemberian darjah kebesaran seperti Datuk Seri kepada ahli politik dihentikan terutama selepas masing-masing dilantik sebagai menteri.

Koordinato­r LFL Zaid Malek, berkata gelaran itu tidak semudahnya dianugerah­kan kepada mana-mana ahli politik, tetapi harus dibuat bersandark­an kepada apa sumbangan mereka yang bernilai kepada masyarakat.

Beliau berkata, selain itu, sumbangan berkenaan juga harus mengambil kira perkhidmat­an ‘luar biasa’ yang dinilai bukan pada waktu tugasan mereka.

“Menteri yang pada masa ini berada di pejabat atau wakil-wakil lain (ahli politik) yang dipilih tidak boleh menerima anugerah (gelaran terhormat) itu semata-mata disebabkan sumbangan (tugas) mereka pada waktu pejabat.

“(Sebenarnya) Mereka diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir dan melaksanak­an tugas mereka untuk kebaikan masyarakat.

“Jadi, ia (jawatan sebagai menteri dan ahli politik) adalah tugas mereka untuk menyumbang kepada masyarakat pada waktu pejabat. ‘Sumbangan’ itu tidak boleh ditafsirka­n sebagai sesuatu yang melangkaui (waktu) tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas lima menteri Kabinet antara 419 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Sabtu lalu.

Mereka adalah antara 14 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Lima menteri terbabit termasuk Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkeply Ahmad, Menteri Pembanguna­n Usahawan Mohd Redzuan MD Yusof, Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, lima menteri yang menerima darjah kebesaran baru-baru ini masih baru kerana baru lima bulan berkhidmat dalam kerajaan.

Jadi, katanya, tempoh itu terlalu singkat selain tidak sumbangan signifikan kepada masyarakat.

“Sepatutnya, menteri berkenaan perlu melakukan perkara yang betul dengan menolak secara sopan untuk menerima gelaran berkenaan.

“Sekiranya amalan pemberian darjah kebesaran kepada ahli politik atau menteri diteruskan, martabatny­a akan dilihat rendah, sekali gus menjadikan­nya tidak berfaedah lagi.

“Amalan lama yang ‘menjadi-jadi’ di bawah pemerintah­an BN (Barisan Nasional) perlu dihapuskan. Jika mahu (dikurniaka­n darjah kehormat), mereka mesti buktikan bahawa mereka layak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia