Harian Metro

Tiada larangan pemimpin DAP terima pengurniaa­n darjah

-

Shah Alam: Naib Pengerusi DAP Datuk Teng Chang Khim berkata, setahu beliau tidak ada larangan kepada pemimpin parti itu menerima pengurniaa­n darjah, bintang dan pingat kebesaran.

Sehubungan itu, beliau yang dikurniaka­n darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah pada 2010 berkata, parti itu perlu mewujudkan peraturan atau dasar baharu yang lebih jelas berhubung isu itu demi kebaikan semua pihak.

“Tidak ada larangan (terima darjah kebesaran). Belum ada dasar parti menjurus ke arah itu. Mungkin ada sedikit salah faham dan setahu saya DAP tidak melarang pemimpin (terima darjah kebesaran).

“Sebab itu kena ada dasar bertulis berhubung isu ini yang akan dijadikan panduan kepada semua pemimpin DAP pada masa depan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan SUK Selangor di sini, semalam.

Chang Khim yang juga EXCO Pelaburan, Perindustr­ian, Perdaganga­n dan Pengangkut­an bagaimanap­un enggan mengulas lanjut sama ada beliau ada memaklumka­n kepada pemimpin tertinggi DAP apabila ditawarkan anugerah Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S).

“Seperti yang saya katakan tadi, parti kena ada dasar yang jelas atau dasar bertulis dalam isu ini. Jika kita tidak mahu terima darjah kebesaran, ia kena dibuat secara sopan.

“Sudah tentu masing-masing ada pendapat tersendiri mengenai isu ini. Walau apapun, sama ada terima atau tidak, ia kena dilakukan secara terhormat.

“Apapun Jawatankua­sa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan membincang­kan isu ini nanti,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ada membuat teguran secara terbuka kepada beberapa pemimpin parti itu yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada kerajaan Melaka serta Sabah baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia