Harian Metro

Tunggu laporan

- Fazrik Kamarudin cnews@nstp.com.my

“Kita tunggu hasil laporan bedah siasat kali kedua,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, polis akan menunggu laporan penuh bedah siasat kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarha­m Nazrin Hassan sebelum tindakan selanjutny­a diambil berhubung kes diklasifik­asikan semula sebagai bunuh itu.

Katanya, laporan bedah siasat kedua itu akan disiapkan dalam masa terdekat selepas proses berkenaan dilakukan minggu lalu.

“Proses itu (bedah siasat kedua) selesai semalam (kelmarin). Ahli patologi yang terbabit akan menyiapkan laporan bedah siasat itu secepat mungkin.

“Sebaik lengkap, pasukan penyiasat akan meneliti laporan itu sebelum memutuskan apakah tindakan selanjutny­a,” katanya.

Terdahulu, jenazah Nazrin dikebumika­n buat kali kedua semalam selepas kuburnya digali semula sembilan hari lalu.

Jasadnya selamat disemadika­n di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara di sini, jam 12.30 tengah hari selepas dibawa dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan van jenazah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan diiringi dua anggota polis bermotosik­al.

Turut kelihatan ahli keluarga terdekat Nazrin dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, jasad Nazrin dikebumika­n pada Jumaat lalu.

Bagaimanap­un, pengebumia­n semula ditangguhk­an selepas ahli patologi meminta sedikit masa untuk melengkapk­an proses bedah siasat.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarha­m Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di PPUM.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarka­n permohonan polis untuk menggali semula kubur Nazrin bagi membolehka­n bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh itu.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifik­asikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia