Harian Metro

Gigih buru impian

- Ardini Sophia Sina hellinie@hmetro.com.my

Idayu tidak menunggu rezeki datang bergolek

Selalu tampil ceria, tidak sedikit pun kelihatan garis kekecewaan di wajah Nur Farah Idayu atau Idayu setiap kali ditanyakan mengenai karier seni yang seolah-olah kurang menjadi.

Penyanyi yang dicungkil bakat menerusi pertanding­an program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu sentiasa positif dalam setiap perancanga­n dan strategi bagi terus kekal relevan dalam industri.

Mungkin kurang mendapat publisiti, lagunya berjudul Ganti Diriku sebenarnya tersenarai dalam carta Muzik Muzik 33. Malahan, dia sendiri giat mempromosi­kan single berkenaan.

“Saya sangat bersyukur masih berada dalam industri dan mendapat undangan untuk menghiburk­an tetamu walaupun bakat seolaholah masih belum disedari umum.

“Bagaimanap­un, selepas muncul juara AF Megastar, alhamdulil­lah tawaran menyanyi semakin banyak. Pernah juga saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana pertembung­an jadual,” katanya.

Melihat graf kerjaya semakin menaik, wanita itu akan menggunaka­n peluang ini sebaik mungkin. Dia juga memasang impian untuk mengadakan konsert hujung tahun ini.

Bagaimanap­un, atas sebab-sebab tertentu, ia terpaksa ditangguhk­an. Idayu berharap agar perancanga­n itu dapat direalisas­ikan pada awal tahun depan.

Bercakap mengenai acara itu, Idayu mengakui ramai penyanyi terpaksa melupakan hasrat untuk mengadakan konsert dek kekangan kewangan dan ketiadaan penaja.

Namun begitu, Idayu tetap berusaha keras bagi melaksanak­an keinginann­ya.

Kata Idayu, dia tidak boleh hanya duduk diam dan menunggu rezeki datang bergolek. Malah, wanita itu sendiri gigih mencari ruang dan peluang agar impiannya tercapai.

“Sebenarnya, saya mahu buat hujung tahun ini, tapi ada beberapa perkara yang terpaksa difikirkan semula terutama membabitka­n lokasi konsert. Disebabkan itu, kemungkina­n acara ini adakan dilaksanak­an pada Januari atau Februari tahun depan.

“Saya bukan siapasiapa. Jadi, tidak kisah pun kalau bersusah-payah untuk mencapai impian. Tidak boleh menunggu saja kerana belum tentu ada yang datang menawarkan bantuan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia