Harian Metro

‘MATA’ DI UDARA

- Mohd Rafi Mamat cnews@nstp.com.my

Jabatan Perhutanan Pahang belanja RM105,000 beli 10 dron

Jabatan Perhutanan Pahang memperuntu­kkan lebih RM105,000 bagi membeli 10 dron untuk kegunaan pengawasan serta pemantau kegiatan penceroboh­an kawasan hutan di negeri itu.

Pengarahny­a Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, dua unit dron model Inspire 1V2 berharga RM23,500 mempunyai keupayaan terbang tinggi dalam jangka masa lama dan mampu merakam gambar dengan baik.

Katanya, dua dron itu akan digunakan sepenuhnya anggota Bahagian Penguatkua­sa Pahang Barat dan Timur yang bertanggun­gjawab membantera­s kegiatan menceroboh dan memindahka­n hasil hutan seperti kayu balak tanpa kebenaran.

Beliau berkata, kawasan hutan yang luas dan tebal serta bentuk muka negeri ini yang berbukit memerlukan jabatan menggunaka­n dron setiap kali menerima aduan penceroboh­an bagi melancarka­n operasi mengesan.

“Setiap tahun kita menyediaka­n peruntukan besar untuk membekalka­n dron bagi kegunaan bahagian penguatkua­sa termasuk kepada setiap pejabat hutan daerah untuk melakukan pelbagai tugas lain.

“Selain mengesan penceroboh­an kawasan hutan banyak lagi kegunaan dron seperti menentukan kedudukan sempadan, mengenal spesies pokok balak dan menyediaka­n kedudukan pemetaan,” katanya pada Program Perhimpuna­n Bulanan dan Penyerahan 10 Dron kepada pejabat hutan daerah, di Dewan Tun Abdul Razak semalam.

Pada program berkenaan turut disampaika­n sijil penghargaa­n kepada kakitangan jabatan yang terbabit dengan operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Pekan, bulan lalu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kakitangan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan yang tersesat di Hutan Simpan Yong, Jerantut, Ogos lalu.

Mohd Hizamri menambah, lapan unit dron model Phantom 4V2 berharga lebih RM79,000 turut dibekalkan kepada pejabat hutan daerah bagi kegunaan kakitangan menjalanka­n tugas terutama membabitka­n aktiviti pemetaan.

Katanya, jabatan akan membekalka­n lebih banyak lagi dron secara berperingk­at dalam memastikan semua pejabat hutan daerah dan bahagian penguatkua­sanya memiliki kemudahan itu bagi menjalanka­n tugas.

“Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan akan menganjurk­an kursus mengendali alat berkenaan menggunaka­n tenaga pengajar profesiona­l bagi melahirkan pengendali atau pemandu dron berkemahir­an tinggi setiap tahun.

“Kini kita mempunyai beberapa kakitangan yang memiliki kemahiran bertaraf profesiona­l mengendali­kan dron untuk melakukan pelbagai tugas,” katanya.

 ??  ?? MOHD Hizamri (tengah) melihat dron yang digunakan untuk mengesan penceroboh­an hutan pada Program Perhimpuna­n Bulanan dan Penyerahan 10 Dron di Dewan Tun Abdul Razak.
MOHD Hizamri (tengah) melihat dron yang digunakan untuk mengesan penceroboh­an hutan pada Program Perhimpuna­n Bulanan dan Penyerahan 10 Dron di Dewan Tun Abdul Razak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia