Harian Metro

‘KEKALKAN ELAUN KAMI’

- Hassan Omar cnews@nstp.com.my

Nelayan risau hasil tangkapan tidak menentu

“Tolong jangan mansuh Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan kerana hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kalau hari ini kami dapat 50 kilogram (kg) ikan, esok belum tentu kerana rezeki di laut bukan seperti rezeki di darat,” kata nelayan, Mohd Najib Isnin, 60.

Menurutnya, kehidupan nelayan bergantung kepada hasil tangkapan ikan, ketam, udang dan pelbagai hidupan laut lain dihimpit kesusahan dan ada kalanya terpaksa mengikat perut.

Katanya, ESH bernilai RM300 sebulan mungkin tidak membawa erti kepada sesetengah pihak terutama golongan berpendapa­tan tinggi tetapi ia sangat bermakna bagi membantu meringanka­n bebanan kos sara hidup nelayan.

“Saya dan nelayan lain pasti tidak setuju jika kerajaan ingin memansuhka­n elaun itu kerana jika dihapuskan, hidup kami yang sudah sedia susah akan bertambah derita akibat perlu menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ditemui di Pangkalan Nelayan Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini semalam.

Mohd Najib yang juga Ketua Balai Nelayan Kampung Pengkalan Balak berkata, Bajet 2019 yang bakal dibentangk­an Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus mengutamak­an program membantu golongan berpendapa­tan rendah dan miskin, terutama nelayan, penoreh getah, pembantu am rendah dan lain-lain.

“ESH yang diberikan kerajaan sejak 2008 adalah ibarat permata yang memberi sinar dalam kehidupan nelayan, terutama nelayan pinggir pantai.

“Dengan adanya bantuan itu, nelayan mampu membeli beras dan bahan makanan utama lain, manakala keperluan lain pula dibeli dengan hasil jualan ikan dan hidupan laut lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sudah memberi kenyataan ESH tidak akan dihentikan, kerajaan harus terus meyakinkan nelayan bantuan seumpama itu tidak akan dimansuhka­n bagi memastikan nelayan tidak dibelenggu kebimbanga­n.

Salahuddin sebelum ini dilaporkan berkata, pemberian ESH secara bulanan kepada nelayan tidak akan dihentikan.

Katanya, bantuan yang dikatakan Perdana Menteri akan dihentikan sebelum ini adalah merujuk kepada insentif tunai secara yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada nelayan sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia