Harian Metro

Wagner ‘hidu’ helah Klopp

-

London: Pengendali Huddersfie­ld Town, David Wagner menjangkak­an Liverpool akan turun dengan skuad terbaiknya pada pertembung­an Liga Perdana Inggeris hari ini, sambil menganggap rakan sejawatnya Juergen Klopp cuba mengaburi kekuatan sebenarnya dengan masalah kecederaan.

Wagner menolak kemungkina­n Liverpool akan tampil tanpa beberapa tonggak utamanya selepas kecederaan dikutip Mohamed Salah (pangkal paha), Virgil van Dijk (rusuk) dan Naby Keita (otot) ketika menggalas tugas bersama negara.

Sadio Mane turut menjalani pembedahan di tangannya dan diragui dapat beraksi menentang Huddersfie­ld yang kini bergelut di kelompok bawah liga.

Wagner, bekas rakan sepasukan Klopp dalam kelab Jerman Mainz pada era 1990-an, berkata rakannya mungkin menggunaka­n taktik lamanya.

“Saya cukup kenal Klopp untuk saya tahu yang dia suka mengaburi penilaian pihak lawan,” kata Wagner yang pernah mengendali pasukan kedua di Borussia Dortmund ketika Klopp membimbing skuad senior.

“Jangan percaya apa yang anda baca, saya jangka kebanyakan pemainnya akan kembali beraksi esok.”

Liverpool bermula garang musim ini dengan mengutip 20 mata daripada lapan perlawanan dan berada di tangga ketiga sebagai satu daripada tiga pasukan teratas yang belum tewas pada kempen kali ini.

Huddersfie­ld sebaliknya mengisi kelompok tiga tercorot dan kekal dengan rekod tanpa kemenangan setakat ini. –Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia